OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kebakaran hutan musnahkan 39,000 hektar di Sepanyol, ribuan dipindahkan

GENEVA: Sepanyol menghadapi musim kebakaran hutan terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih 39,000 hektar tanah telah musnah akibat kebakaran sejak awal tahun ini.

Kementerian Peralihan Ekologi Sepanyol melaporkan angka ini 9 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Namun, ia masih 37 peratus lebih rendah daripada purata 10 tahun iaitu 62,235 hektar.

Daripada 4,735 kebakaran yang direkodkan, 14 daripadanya adalah kebakaran besar melebihi 500 hektar.

Kebanyakan kebakaran berlaku di barat laut negara, diikuti kawasan Mediterranean dan pedalaman.

Di Castilla dan Leon, 10 kebakaran aktif masih membakar, termasuk di Zamora yang musnahkan 3,500 hektar.

Di Leon, kebakaran di Yeres mengancam Las Medulas, tapak Warisan Dunia UNESCO.

Lebih 800 orang dipindahkan atau diarahkan berkurung akibat kebakaran di kawasan tersebut.

Di Tarifa, Cadiz, kira-kira 1,500 orang dipindahkan dan 5,000 kenderaan dialihkan dari tapak perkhemahan.

Di Extremadura, kebakaran di Las Hurdes musnahkan 3,000 hektar dan paksa 200 penduduk berpindah.

Pada bulan Julai sahaja, 26,000 hektar tanah dilaporkan terbakar di seluruh Sepanyol.

Gelombang haba melampau dengan suhu melebihi 40°C dikenal pasti sebagai punca utama kebakaran.

Keadaan kering, angin kencang, dan kelembapan rendah memburukkan lagi risiko kebakaran.

Pihak berkuasa memberi amaran risiko kebakaran tinggi hingga melampau masih berterusan di banyak kawasan.

Kebakaran yang kelihatan terkawal boleh kembali marak jika keadaan cuaca bertambah buruk. - Bernama, Anadolu

Gelombang haba di Eropah catat rekod tertinggi

LAS MEDULAS: Seorang kanak-kanak lelaki maut akibat strok haba di Itali manakala kebakaran hutan mengancam tapak UNESCO di Sepanyol.

Kanak-kanak lelaki Romania berusia empat tahun itu meninggal dunia di Itali beberapa hari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta keluarganya di pulau Sardinia.

Secara keseluruhan, dianggarkan lebih 5,000 kematian dicatatkan di seluruh Eropah disebabkan secara langsung atau tidak langsung oleh gelombang haba.

Di Perancis, pihak berkuasa kesihatan melaporkan lebih 1,500 kematian berkaitan haba pada separuh pertama Julai.

Di Sepanyol, sekurang-kurangnya 13 kematian dilaporkan di bandar Zaragoza sahaja dalam Julai manakala lebih 300 kematian dicatatkan di United Kingdom (UK), dengan golongan warga emas menjadi mangsa utama.

Kementerian kesihatan Itali mengeluarkan amaran amaran merah untuk tujuh bandar utama, termasuk Bologna dan Florence.

Kira-kira 11 bandar Itali berada dalam amaran merah sejak semalam dan 16 bandar pada hari ini. Amaran merah juga diumumkan di selatan Perancis dan di pantai Adriatik serta Ionia di Balkan.

"Gelombang haba yang sedang melanda Perancis, Sepanyol dan negara-negara Balkan tidak mengejutkan.

Ia didorong oleh kubah haba yang berterusan di Eropah," kata Akshay Deoras, seorang saintis penyelidik di jabatan meteorologi di Universiti Reading Britain, kepada AFP.

Ribuan orang diarahkan berpindah di seluruh Eropah sementara kebakaran hutan semakin merebak akibat ditiup angin kencang mengancam tapak pelancongan popular di Turkiye dan Sepanyol.

Kebakaran, yang berlaku pada Ahad, merosakkan tapak perlombongan era Rom yang tersenarai dalam Warisan Dunia UNESCO di Les Medulas di barat laut Sepanyol, terkenal dengan landskap merah yang menarik, memaksa ratusan penduduk berpindah.

Suhu tinggi dan angin sehingga 40 kilometer sejam (km/j) menyukarkan anggota bomba yang bergelut untuk mengawal kebakaran, kata Menteri Alam Sekitar wilayah Castile dan Leon, Juan Carlos Suarez-Quinones, .

Sepanyol dilanda gelombang panas sejak seminggu lalu, dengan suhu menghampiri 40 darjah Celsius di banyak kawasan dan mencetuskan kebakaran hutan.

Di negara jiran Portugal, anggota bomba berdepan tiga kebakaran hutan besar di tengah dan utara negara itu, manakala Maghribi menghantar dua pesawat untuk membantu memadam kebakaran selepas dua pesawat Portugis rosak.

Di Itali, kira-kira 190 anggota bomba dan tentera sedang menangani kebakaran hutan di Gunung Vesuvius yang menyebabkan penutupan taman negara kepada pelancong.

Orang ramai dipindahkan dari berpuluh-puluh rumah di Balkan ketika anggota bomba memadamkan kebakaran di Albania, Montenegro dan Croatia, di mana amaran merah diumumkan.

Di Albania, ratusan anggota bomba dan askar memadamkan kebanyakan daripada hampir 40 kebakaran yang marak dalam tempoh 24 jam yang lalu, menurut kementerian pertahanan, tetapi lebih 12 lagi masih aktif.

Di wilayah Canakkale di barat laut Turkiye, lebih 2,000 orang dipindahkan dan 77 orang menerima rawatan hospital kerana terhidu asap selepas beberapa kebakaran berlaku di sekitar perkampungan pelancongan Guzelyali, kata pihak berkuasa.

Beberapa rumah dan kereta terbakar, menurut imej yang ditunjukkan di media Turkiye manakala lebih 760 anggota bomba, 10 kapal terbang, sembilan helikopter dan lebih 200 kenderaan dikerahkan untuk memadamkan api.

Gelombang panas, yang kedua di Perancis pada musim panas ini bermula pada Jumaat lalu dan diramalkan mungkin berlarutan sehingga 19 atau 20 Ogos.

 

Gelombang haba melanda Eropah, tingkat risiko kebakaran hutan di Perancis

PARIS: Gelombang haba melanda beberapa bahagian Eropah pada Isnin, dengan suhu mencecah sehingga 43 darjah Celsius di selatan Perancis dan meningkatkan risiko kebakaran hutan di kawasan pengeluar wain.

Manakala Bulgaria turut berdepan kebakaran di sepanjang sempadan selatannya dan Hungary mencatatkan suhu tertinggi baharu hujung minggu lalu.

Menurut saintis, Eropah kini menjadi benua yang paling pantas mengalami pemanasan di dunia. Berdasarkan laporan Carbon Brief yang berpangkalan di United Kingdom (UK), tahun 2025 dijangka menjadi tahun kedua atau ketiga terpanas dalam rekod.

Suhu daratan di Eropah telah meningkat kira-kira 2.3 darjah Celsius berbanding era pra-industri, hampir dua kali ganda kadar global, sekali gus memperhebatkan gelombang haba, menurut perkhidmatan iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU).

Data EU menunjukkan keluasan kawasan terbakar di seluruh benua musim panas ini jauh melebihi purata jangka panjang, dengan kebakaran besar di Sepanyol, Portugal dan kebakaran maut di Greece sejak akhir Jun.

Pejabat Meteorologi UK menjangkakan gelombang haba keempat musim panas ini akan memuncak sekitar 33 darjah Celcius di London pada Selasa. Agensi Keselamatan Kesihatan UK telah mengeluarkan amaran kesihatan kuning bagi warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Di wilayah Aude, Perancis iaitu kawasan yang dipenuhi ladang anggur dan belukar Mediterranean, ratusan anggota bomba berkawal di pinggir kebakaran besar yang memusnahkan 16,000 hektar minggu lalu.

Pihak berkuasa berkata kebakaran itu kini terkawal, namun memberi amaran ia mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk dipadam sepenuhnya, dengan beberapa titik panas masih membara dan berisiko menyala semula.

Pada Isnin, pihak berkuasa cuaca nasional Perancis, Météo-France, meletakkan 12 wilayah di bawah amaran merah iaitu tahap amaran haba tertinggi negara itu, menjangkakan cuaca panas luar biasa dari pantai Atlantik hingga ke dataran Mediterranean.

Sebanyak 41 wilayah lain pula berada dalam amaran jingga, termasuk negara jiran Andorra yang terletak di antara Perancis dan Sepanyol.

Imej di media sosial memaparkan jalan-jalan di Valence yang ditutup, penduduk menutup tingkap dengan kerajang aluminium untuk memantulkan cahaya, dan pelancong berteduh di bawah payung di tebing Sungai Garonne di Toulouse. Di seluruh kawasan selatan, teres kafe kosong apabila orang ramai memilih berada di dalam bangunan yang lebih sejuk.

Amaran merah di Perancis hanya pernah dikeluarkan lapan kali sejak ia diperkenalkan pada 2004, selepas musim panas maut setahun sebelumnya. Ia dikhususkan bagi keadaan panas melampau yang berpanjangan dengan risiko besar terhadap kesihatan serta potensi mengganggu kehidupan harian. -AGENSI

 

Korban banjir lumpur Uttarakhand melebihi 70 orang

NEW DELHI – Pegawai-pegawai India menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 68 orang tidak dapat dikesan, seminggu selepas tanah runtuh berais menghanyutkan sebuah pekan Himalaya dan menimbusnya dalam lumpur.

Selain daripada empat orang yang dilaporkan terkorban, jumlah keseluruhan mangsa bagi bencana 5 Ogos lalu itu dipercayai melebihi 70 orang.

Video yang disiarkan oleh mangsa yang selamat menunjukkan lonjakan air berlumpur menghanyutkan beberapa blok pangsapuri bertingkat.
 

Pegawai bencana berkata hari ini bahawa mereka sedang mencari mayat di samping serpihan bandar pelancongan, Dharali di negeri Uttarakhand.

Gambhir Singh Chauhan daripada Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan berkata, anjing pengesan telah mengenal pasti beberapa lokasi yang menunjukkan terdapat mayat.

“Namun, pabila penggalian bermula, air keluar dari bawah,” katanya.

Gambhir berkata, pasukannya juga menggunakan radar penembusan darat dalam pencarian tersebut.

Kerajaan tempatan kini menyenaraikan 68 orang hilang, termasuk 44 warga India dan 22 warga Nepal. Sembilan askar turut berada dalam senarai itu. – AFP

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search