OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Previous Next

Majlis Pelancaran Logo Resilient Asia 2025 | 23 September 2025 | Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
 
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai wakil rasmi YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pagi ini telah melancarkan logo rasmi pameran Resilient Asia 2025 Exposition & Forum di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
 
Bertemakan “AI For Future-Proofing Disaster Management Towards Stronger Communities”, pameran Resilient Asia 2025 yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Oktober ini bakal menghimpunkan pelbagai pemegang taruh daripada agensi kerajaan, sektor swasta, pemain industri, institusi pendidikan tinggi, organisasi tempatan dan antarabangsa, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan, organisasi masyarakat sivil sehinggalah komuniti akar umbi.
 
Selaras dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, Resilient Asia 2025 juga bakal menghimpunkan delegasi antarabangsa dari ASEAN, dan negara yang menjalinkan kerjasama strategik dengan Malaysia dalam bidang pengurusan bencana seperti Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jepun, Persekutuan Rusia, Republik Korea, Timor Leste, Türkiye, United Kingdom dan Qatar turut dijemput menyertai pameran ini.
 
Penyertaan meluas ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana melalui perkongsian pengalaman, inovasi dan amalan terbaik yang diguna pakai dalam mengurus mitigasi dan kesiapsiagaan bencana mengikut disiplin kepakaran masing-masing di peringkat tempatan, serantau dan global.
 
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai forum dan persidangan antarabangsa akan dianjurkan, merangkumi aspek pencegahan, mitigasi, kesiapsiagaan, tindak balas, bantuan kemanusiaan serta pemulihan semula.
Previous Next

1st Southeast Asia Red Cross Red Crescent Humanitarian Forum | 22 September 2025 | Aloft Kuala Lumpur Sentral
 
Sedang berlangsung 1st Southeast Asia Red Cross Red Crescent Humanitarian Forum dengan penyertaan seramai 200 orang peserta daripada NGO, Palang Merah/Bulan Sabit Merah Asia Tenggara serta rakan kerjasama ASEAN. Forum anjuran IFRC, ICRC dan BSMM ini menjadi wadah penting untuk membincangkan isu kemanusiaan serantau, berkongsi pengalaman operasi bantuan bencana serta memperkukuh solidariti dan jaringan kerjasama serantau.
 
Dalam sesi perbincangan, panel daripada NADMA ialah Encik Muhammad Azam Zakuan yang menekankan kepentingan kerjasama erat dengan rakan ASEAN serta memperkenalkan fungsi Platform Rakan NADMA yang menghimpunkan NGO, universiti dan badan korporat sebagai tulang belakang kerajaan dalam pengurusan bencana di dalam dan luar negara.
Previous Next

Program Kesiapsiagaan Pengurusan Risiko Gempa Bumi Berasaskan Komuniti (CBDRM) Daerah Segamat | 20 September 2025 | Dewan Masjid Bandar Segamat, Johor
 
Telah berlangsung Program Kesiapsiagaan Pengurusan Risiko Gempa Bumi Berasaskan Komuniti (CBDRM) Daerah Segamat yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Hj. Hussain Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA dengan ucapan aluan yang menekankan kepentingan kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi ancaman gempa bumi.
 
Program ini disertai seramai 100 orang peserta daripada kalangan komuniti setempat yang melibatkan DUN Buloh Kasap dan DUN Pemanis bersama penyertaan agensi-agensi teknikal, pasukan tindak balas bencana serta NGO.
 
Program ini selari dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 serta Kerangka Sendai 2015–2030, yang menekankan penglibatan menyeluruh masyarakat dalam kesiapsiagaan bencana. Objektif penganjuran adalah untuk meningkatkan kesedaran, memberi pendedahan amali kepada komuniti, serta memperkasakan kepimpinan setempat dalam membina ketahanan masyarakat terhadap ancaman gempa bumi.
Previous Next

MAJLIS PELANCARAN RAKAN NADMA@SAHABAT YPM | 21 SEPTEMBER 2025
 
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) telah melancarkan Rakan NADMA@Sahabat YPM di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu, Sabah.
 
Pelancaran ini menandakan penglibatan rasmi Yayasan Pelajaran MARA (YPM) sebagai rakan strategik NADMA dalam usaha memperkukuh agenda pengurangan risiko bencana melalui pendekatan _Whole of Society_. Fokus utama kerjasama ini adalah bagi mempertingkatkan peranan bantuan pasca bencana kepada masyarakat yang terjejas.
 
Dalam majlis berkenaan, Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah NADMA telah menyerahkan bantuan barangan dan peralatan pembersihan pasca bencana kepada Tn. Hj. Faisulluddin bin Mohamad Yusuff, Ketua Pegawai Eksekutif YPM sebagai simbolik kerjasama ini sab turut disaksikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Pengerusi MARA, Pengerusi YPM serta para tetamu kehormat.
 
Penubuhan Skuad Sukarelawan Sahabat YPM di bawah inisiatif ini akan memfokuskan kepada misi bantuan pasca bencana, khususnya kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Sabah yang berlaku baru-baru ini.
 
NADMA yakin dengan komitmen erat dari YPM ini akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan tindak balas bencana secara kolektif. Melalui kolaborasi strategik ini, usaha pengurangan risiko bencana dan bantuan kemanusiaan pasca bencana dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat yang terjejas.
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search