BANGKOK: Kerajaan Thailand menyenaraikan 33 wilayah dalam keadaan berjaga-jaga minggu ini susulan ramalan hujan lebat berterusan yang berpotensi mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Sasikan Watthanachan berkata, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) mengeluarkan amaran kepada kawasan di bahagian utara, timur laut, tengah dan selatan negara itu.
"Mereka diarahkan untuk memantau risiko banjir kilat, limpahan air hujan, tanah runtuh serta banjir di kawasan tanah rendah.
"Agensi berkaitan di kawasan berisiko tinggi diarahkan bersiap siaga 24 jam dan bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang kecemasan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Sasikan, DDPM turut mengarahkan pihak berkuasa wilayah dan pusat pencegahan bencana serantau agar memantau secara rapi kawasan yang mencatatkan taburan hujan melebihi 90 milimeter dalam tempoh 24 jam, serta kawasan yang sering dilanda banjir.
"Pihak berkuasa perlu segera memeriksa dan membaiki benteng banjir, membersihkan saluran air yang tersumbat serta mengurus sumber air dari hulu ke hilir secara sistematik
"Tarikan pelancongan semula jadi yang berisiko seperti air terjun dan gua juga mesti dipantau dengan teliti. Sekiranya terdapat ancaman bahaya, kawasan itu perlu ditutup serta-merta," katanya.
Kerajaan turut menggesa penduduk di kawasan berisiko tinggi sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui aplikasi 'THAI DISASTER ALERT' dan platform rasmi dalam talian Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana.
Beliau berkata, sistem amaran melalui siaran sel atau cell broadcast kini beroperasi sepenuhnya dan bersedia untuk digunakan di seluruh negara.
Pada November tahun lalu, banjir besar yang melanda selatan Thailand telah meragut 29 nyawa dan memaksa lebih 100,000 keluarga berpindah.
Taufan Danas hentam Taiwan
- Admin UKK
- Berita
TAIPEI – Taufan Danas membadai pantai barat Taiwan awal hari ini, menyebabkan dua orang terkorban dan beratus-ratus penduduk cedera, manakala hampir 400,000 isi rumah terputus bekalan elektrik, kata pihak berkuasa.
Ribut itu membawa tiupan angin ‘kemusnahan’ pada kelajuan 222 kilometer sejam selepas tiba di daratan di barat daya Taiwan lewat semalam, kata Pentadbiran Kaji Cuaca Pusat.
“Ini kali pertama dalam rekod taufan tiba di daratan di daerah Chiayi, ia adalah laluan yang sangat luar biasa,” kata seorang ahli meteorologi Taiwan.
Ribut itu bergerak ke arah utara dan meninggalkan Taiwan hari ini tetapi hujan lebat belum berhenti. Sekurang-kurangnya 491 orang dirawat kerana kecederaan, demikian menurut Agensi Bomba Kebangsaan.
Seorang lelaki berumur 60 tahun meninggal dunia selepas gangguan bekalan elektrik di rumah menyebabkan mesin sokongan hayatnya berhenti berfungsi dan seorang lelaki berusia 69 tahun terbunuh dihempap pokok tumbang ketika memandu, kata agensi sama.
Ribut kuat itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik di seluruh Taiwan, menjejaskan sekitar setengah juta isi rumah, katanya. Hampir 400,000 kediaman masih tiada bekalan elektrik setakat pagi tadi.
Taufan Danas membawa lebih 500 milimeter hujan di selatan Taiwan sepanjang hujung minggu lalu.
Hampir 3,500 orang dipindahkan dengan kebanyakan mereka tinggal di kawasan pergunungan sekitar bandar pelabuhan Kaohsiung, selatan Taiwan, kata jabatan bomba.
Sebanyak 30 penerbangan antarabangsa dari Taiwan dibatalkan hari ini. Taiwan lazimnya menghadapi ribut tropika yang kerap dari Julai hingga Oktober setiap tahun. – AFP
BANGKOK: Kerajaan Thailand mengumumkan status berjaga-jaga di 33 wilayah minggu ini susulan amaran hujan lebat berterusan yang berpotensi mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh.
Timbalan Jurucakap Kerajaan, Sasikan Watthanachan, berkata Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) telah mengeluarkan amaran kepada wilayah di utara, timur laut, tengah dan selatan negara itu.
“Semua agensi berkaitan di kawasan berisiko diarahkan untuk bersiap siaga sepanjang masa, memantau kemungkinan banjir kilat, limpahan hujan, tanah runtuh serta banjir di kawasan rendah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sasikan menjelaskan pihak berkuasa wilayah dan pusat pencegahan bencana serantau diminta memantau dengan teliti kawasan yang menerima taburan hujan melebihi 90 milimeter dalam tempoh 24 jam, termasuk kawasan yang sering terjejas banjir.
“Pemeriksaan serta pembaikan benteng banjir perlu dilakukan segera, begitu juga kerja-kerja pembersihan saluran air tersumbat dan pengurusan sumber air dari hulu ke hilir secara sistematik,” ujarnya.
Katanya, lokasi pelancongan semula jadi yang berisiko seperti air terjun dan gua juga perlu dipantau rapi, dan jika terdapat sebarang ancaman, kawasan tersebut mesti ditutup serta-merta bagi menjamin keselamatan awam.
Kerajaan turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko tinggi agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca melalui aplikasi THAI DISASTER ALERT serta saluran rasmi dalam talian DDPM.
Sasikan turut memaklumkan bahawa sistem amaran bencana melalui siaran sel (cell broadcast) kini beroperasi sepenuhnya dan bersedia digunakan di seluruh negara sebagai langkah komunikasi pantas dalam situasi kecemasan.
Thailand pernah berdepan bencana besar pada November tahun lalu apabila banjir besar melanda wilayah selatan, meragut 29 nyawa dan memaksa lebih 100,000 keluarga dipindahkan.
GUNUNG LEWOTOBI: Letusan kuat Gunung Lewotobi Laki-Laki di Flores Timur, Indonesia pada Isnin mencetuskan amaran bahaya.
Abu tebal dan batu kerikil yang jatuh mengancam keselamatan penduduk berhampiran.
Letusan berlaku pada 11.05 pagi waktu tempatan, memuntahkan awan abu berwarna kelabu hingga hitam dengan ketinggian sehingga 18 kilometer dari puncak gunung.
Serpihan gunung berapi dilaporkan jatuh di kawasan sekitar, meningkatkan risiko kepada penduduk. Pos Pemerhatian Gunung Lewotobi Laki-Laki mengesahkan letusan masih berterusan.
Penduduk di lereng gunung dinasihatkan menghentikan semua aktiviti dan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk.
“Mereka yang terjejas akibat hujan abu dinasihatkan memakai pelitup muka atau menutup hidung dan mulut untuk mengelakkan bahaya pernafasan,” menurut laporan rasmi.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) telah menaikkan tahap amaran kepada Tahap Empat, iaitu yang tertinggi pada skala.
Penduduk dan pelancong diminta mengelakkan semua aktiviti dalam radius enam kilometer dari kawah serta tujuh kilometer di sektor barat daya hingga timur laut. - Bernama
SHAH ALAM: Rayuan atau petisyen yang dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu ditolak pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Speakernya, Lau Weng San berkata, bagaimanapun rayuan yang dibawa di bawah Peraturan 18, Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor itu boleh diambil isi kandungannya untuk dibahaskan selepas taklimat daripada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurutnya, kerajaan negeri akan mendengar dan menggulung perbahasan daripada keseluruhan ADUN Selangor berhubung insiden tersebut pada sidang kali ini.
“Akan ada perbahasan, saya difahamkan juga Menteri Besar akan berjumpa dengan ahli dewan (petang ini) untuk memberi taklimat. Selepas itu bila DUN bersidang semula, kita akan mengambil bahagian dalam perbahasan dan kerajaan perlu memberi penjelasan tentang apa yang dibahaskan,” katanya pada Sidang DUN Selangor, hari ini.
Terdahulu, isu petisyen dan rayuan tersebut menarik perhatian dewan selepas ia dibangkitkan oleh Dr. Afif; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ADUN Paya Jaras, Datuk Dr. Abdul Halim Tamuri.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin yang juga ADUN Hulu Kelang tidak bersetuju dengan petua dikeluarkan oleh Weng San berhubung status pengundian penduduk di Putra Heights dalam rayuan tersebut dan menegaskan Perkara 18 penting berbanding soalan-soalan kepada Menteri Besar.
“Letupan yang berlaku ia tidak kenal sama ada orang itu pengundi atau bukan. Persoalan di sini adalah soal keselamatan dan nyawa rakyat. Dalam, Peraturan 18(1) dan (2), tidak menetapkan jumlah rayuan yang perlu dikemukakan sama ada satu, 10, 19, 20 tetapi apabila ada rayuan ia mesti didengar.
“Mengikut peraturan tetap juga, rayuan diletakkan pada tahap yang jauh lebih tinggi daripada pertanyaan kepada Menteri Besar, sebab itu perkara sedemikian belum pernah berlaku, unprecedented, banyak dewan termasuk Dewan Rakyat tidak pernah membicarakan soal itu,” tegasnya.
Weng San kemudian menyatakan insiden letupan paip gas di Putra Heights akan dibahaskan, namun berhubung rayuan tersebut pihaknya juga membuat rujukan di negara-negara yang mengamalkan Parlimen Westminster untuk menguruskan rayuan atau petisyen. – UTUSAN