OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Gempa bumi Guatemala: Ratusan bermalam luar rumah bimbang gegaran susulan

SANTA MARIA DE JESUS : Penduduk di bandar Santa Maria de Jesus yang merupakan kawasan paling terjejas akibat gempa bumi di Guatemala terpaksa bermalam di luar rumah berikutan bimbang berlaku gegaran susulan.
 
Penduduk dilaporkan menghabiskan waktu dalam khemah yang didirikan di kawasan lapang sepanjang malam sebagai langkah berjaga-jaga.
 
Dalam pada itu, sisa runtuhan daripada struktur bangunan yang sebahagiannya telah roboh memenuhi jalanan di bandar yang terletak kira-kira 50 kilometer dari ibu kota Guatemala.
 
Menurut Agensi Penyelaras Nasional untuk Pengurangan Bencana (CONRED), lima kematian telah disahkan termasuk sembilan lagi mangsa cedera masih dirawat di hospital manakala seramai 300 orang telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
Presiden Guatemala, Bernardo Arevalo, telah melawat kawasan terjejas dan memaklumkan bahawa syarikat bekalan elektrik sedang giat berusaha memulihkan bekalan, sementara pasukan teknikal menilai tahap kerosakan yang berlaku.
 
Menurut Institut Seismologi negara itu, gempa bumi bermagnitud 5.2 melanda selatan Guatemala pada tengah hari Selasa, kira-kira 60 kilometer dari ibu kota Guatemala City manakala sekurang-kurangnya 37 gegaran susulan bermagnitud antara 3.9 hingga 5.6 dilaporkan selepas itu.

DUNIA Bendera dikibar separuh tiang di Texas, tanda hormat mangsa banjir

KERRVILLE: Bendera di seluruh Texas, Amerika Syarikat (AS) dikibar separuh tiang pada Rabu sebagai tanda menghormati mangsa kejadian banjir kilat yang meragut sekurang-kurangnya 119 nyawa pada 4 Julai lalu.
 
Gabenor Texas, Greg Abbott, mengeluarkan arahan mengibarkan bendera separuh tiang pada awal pagi Rabu dan ia akan berkuat kuasa sehingga awal pagi Isnin depan.
 
Menurut angka yang dimaklumkan Abbott, lebih 170 individu masih belum ditemui, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa angka korban mungkin meningkat.
 
Dalam pada itu, pasukan penyelamat tidak menemui mangsa yang masih hidup sejak hari kejadian.
 
Kawasan Kerrville, yang merupakan pusat daerah Kerr County, mengalami kerosakan teruk apabila hujan lebat melanda pada awal pagi Jumaat yang mana limpahan air Sungai Guadalupe mencapai ketinggian hampir 30 kaki.
 
Sementara itu, usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan harapan agar mangsa yang terselamat ditemui meskipun peluang tipis.

Ahli Kongres AS tulis surat kepada Kanada, asap kebakaran hutan ganggu musim panas

WASHINGTON: Enam ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) telah menulis surat rasmi kepada Kedutaan Kanada di Washington, menyuarakan kebimbangan bahawa asap kebakaran hutan dari Kanada telah menjejaskan kualiti udara dan mengganggu musim panas rakyat Amerika di negeri-negeri utara.
 
Surat yang ditujukan kepada Duta Kanada, Kirsten Hillman, menyatakan bahawa asap tebal dari kebakaran hutan di Kanada telah “menyesakkan” udara dan menyukarkan rakyat untuk menikmati aktiviti luar.
 
“Musim panas sepatutnya menjadi masa untuk bersantai bersama keluarga dan mencipta kenangan baharu, tetapi asap ini menjadikannya mustahil,” tulis mereka.
 
Surat tersebut ditandatangani oleh enam wakil Republikan dari Wisconsin dan Minnesota, termasuk Tom Emmer, Majority Whip di Dewan Perwakilan.
 
Mereka meminta penjelasan tentang bagaimana kerajaan Kanada merancang untuk mengurangkan kebakaran hutan dan asap yang melintasi sempadan.
 
Jurucakap Kedutaan Kanada, Tarryn Elliott, berkata bahawa kerajaan Kanada “mengambil serius pencegahan dan pengurusan kebakaran hutan” dan surat tersebut telah disampaikan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
 
Setakat ini, Kanada telah mencatat lebih 2,600 kebakaran hutan pada tahun ini, dengan lebih 100 daripadanya masih tidak terkawal.
 
Dua kematian telah dilaporkan dan puluhan ribu penduduk telah dipindahkan, terutamanya di Saskatchewan dan Manitoba.
 
Ahli Kongres menyalahkan “kurangnya pengurusan hutan aktif” dan mendakwa bahawa beberapa kebakaran berpunca daripada perbuatan khianat.
 
Walau bagaimanapun, data rasmi menunjukkan bahawa majoriti kebakaran hutan di Kanada berpunca daripada panahan petir, dan saintis mengaitkan peningkatan kebakaran dengan perubahan iklim yang semakin meruncing.
 
Walau bagaimanapun, data rasmi menunjukkan bahawa majoriti kebakaran hutan di Kanada berpunca daripada panahan petir, dan saintis mengaitkan peningkatan kebakaran dengan perubahan iklim yang semakin meruncing.

Tiga maut dalam banjir kilat

WASHINGTON - Banjir kilat yang membawa maut telah melanda satu lagi negeri di selatan Amerika Syarikat, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Seorang lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dihanyutkan arus deras di perkampungan pergunungan Ruidoso, New Mexico, menurut pihak berkuasa.

Video di media sosial menunjukkan air deras mengalir melalui bandar itu dan menghanyutkan sebuah rumah sepenuhnya.

Gabenor New Mexico, Michelle Lujan Grisham telah mengisytiharkan darurat di kawasan terjejas bagi membolehkan pasukan kecemasan digerakkan serta mendapatkan pembiayaan persekutuan.

 

"Krisis ini memerlukan tindakan segera,” tulisnya di Facebook.

Di negeri jiran, Texas, lebih 100 orang termasuk ramai kanak-kanak daripada kem musim panas maut akibat banjir kilat di Sungai Guadalupe. Lebih 160 orang masih dilaporkan hilang. - Bernama/dpa

Lima hilang, lebih 7,000 dipindahkan akibat hujan lebat di barat daya China

KUNMING: Lima individu dilaporkan hilang selepas hujan lebat melanda Zhaotong, sebuah bandar pergunungan di Wilayah Yunan, barat daya China, kata pihak berkuasa tempatan pada Rabu, menurut Xinhua.
 
Hujan lebat berterusan sejak pagi Selasa telah membadai sebahagian besar kawasan di Zhaotong, menyebabkan kerosakan di beberapa daerah di bawah pentadbiran bandar itu.
 
Dua rumah di Perkampungan Luobu, Daerah Weixin, telah dihanyutkan air, menyebabkan lima orang masih belum dapat dikesan, menurut laporan awal. Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
 
Pihak berkuasa Zhaotong telah melancarkan usaha menyelamat dan bantuan bencana secara besar-besaran, dengan lebih 7,000 penduduk dipindahkan ke kawasan selamat setakat 2 petang Rabu.
 
 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search