Pasukan SMART bangunkan pangkalan hadapan di Bandar Dunche, Nepal
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) tiba di Bandar Dhunche di Nepal, bagi memulakan fasa penubuhan pangkalan hadapan taktikal dalam usaha menyokong operasi cerapan dan pengumpulan data di kawasan terjejas.
Sepuluh anggota diketuai oleh Inspektor Abdullah itu tiba jam 11.30 pagi waktu tempatan (1.45 tengah hari Waktu Malaysia), menaiki helikopter MI-17 dari Markas Taktikal Tentera Nepal di Trishuli.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata pangkalan hadapan di Dhunche dibangunkan sebagai pusat logistik, penginapan sementara, serta hab kawalan operasi cerapan dron bagi kawasan Rasuwa yang merangkumi Syafrubesi, Timure, Dhunche dan Mailung.
"Pasukan SMART membangunkan pangkalan hadapan di Dhunche bagi menyokong operasi cerapan udara serta sebagai lokasi persediaan dan penginapan sementara, sekiranya keadaan operasi memerlukan.
"Penubuhan pangkalan di lokasi berkenaan penting bagi melancarkan tugasan pemetaan di kawasan terjejas," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, bagi memastikan pemetaan dilakukan secara menyeluruh, empat sektor utama dikenal pasti bagi aktiviti cerapan udara, iaitu Sektor A, B, C dan D, yang meliputi laluan antara Syafrubesi hingga ke Timure.
Meor Ismail berkata, tugasan itu akan dilaksanakan secara bersama menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
