OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kepala air korbankan tiga pegawai JKR

KAMPAR – Kejadian kepala air ekoran hujan lebat dikatakan menjadi punca tiga pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) lemas semasa melakukan aktiviti berakit meredah jeram (water rafting) di Sungai Jahang, Gopeng pada pukul 3.30 petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mereka yang lemas ialah Mohamad Khairul Hakim Hamidi dan Muhammad Ikram Abdul Bari masing-masing berumur 37 dan 29 tahun dan Suhaila Mat Saad, 47.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, hujan yang berterusan telah menyebabkan air Sungai Jahang meningkat dengan mendadak.

“Situasi itu menyebabkan bot dinaiki enam penumpang termasuk seorang jurupandu secara tiba-tiba telah terbalik. Ketiga-tiga mangsa dihanyutkan arus deras,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Nazri berkata, empat bot untuk aktiviti lasak itu daripada sebuah resort membawa 21 penumpang, lima jurupandu dan seorang jurugambar.

“Keadaan sungai semasa mereka mula melakukan aktiviti masih sesuai untuk ‘water rafting’.

“Bagaimanapun, semasa 500 meter dari tempat pelepasan, berlaku hujan berterusan menyebabkan paras air sungai naik mendadak lalu mengakibatkan bot terakhir yang dinaiki tujuh individu terbalik.

 

“Mangsa hanyut 800 meter dari tempat bot terbalik sebelum tiga mangsa itu disahkan meninggal dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Empat negeri di Malaysia alami hujan berterusan lima hari

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di empat negeri Semenanjung melibatkan kawasan yang menghadap Laut China Selatan untuk tempoh lima hari berturut-turut bermula pada Selasa depan.

MetMalaysia dalam satu hantaran di Facebook berkata, negeri tersebut ialah Kelantan di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh serta seluruh Terengganu.

Dua negeri lain pula ialah Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi serta Johor Bahru).
 

Sebelum ini, MetMalaysia menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) mencapai kemuncaknya pada penghujung bulan November menyaksikan taburan tinggi di Sempadan-Thailand selain negeri timur serta Sabah dan Sarawak.

Menurut Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, dalam tempoh tersebut, negeri berkenaan diramal menerima taburan hujan antara 20 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding kadar biasa.

Dalam pada itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengingatkan persediaan peralatan keselamatan termasuk Personal Locator Beacon (PLB) sebagai peranti kecemasan berasaskan satelit ketika melakukan aktiviti di laut terutama semasa musim MTL.

Musim tengkujuh: KPDN pastikan bekalan diesel, petrol mencukupi di kawasan berisiko banjir

DUNGUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan bekalan diesel dan petrol di kawasan berisiko banjir ketika musim tengkujuh, mencukupi.

Timbalan menterinya, Fauziah Salleh berkata berikutan itu pihaknya sudah memberi kelulusan sementara kepada pemegang lesen runcit barangan kawalan berjadual.

Selain itu, katanya, keutamaan bekalan juga akan ditumpukan di kawasan pendalaman.

"Mereka ini (pemegang lesen runcit barangan kawalan berjadual) telah diberi kelulusan menambah had simpanan petrol sehingga 30 peratus daripada had simpanan sedia ada.

"Bekalan petrol dan diesel tambahan ini telah dihantar ke kawasan yang berisiko banjir supaya tidak berlaku gangguan bekalan ketika musim tengkujuh nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pengedaran Barang Perlu, LPG (gas petroleum cecair) dan Community Drumming di Kampung Kuala Jengai, dekat sini, hari ini.

Mengenai program berkenaan, Fuziah berkata kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM225 juta kepada enam negeri iaitu Terengganu, Pahang, Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak.

Katanya, program berkenaan adalah bagi memastikan penduduk di pedalaman terpilih mempunyai akses kepada barangan keperluan sekali gus dapat mewujudkan kestabilan bekalan dan kawalan di kawasan terbabit.

"Setakat ini sebanyak 1,770 pusat penjualan telah diwujudkan di kawasan pedalaman," katanya.

Fuziah berkata program itu juga membabitkan tujuh jenis barangan iaitu beras putih, tepung gadum, gula putih bertapis kasar, minyak masak paket, LPG, diesel dan petrol.

"Segala kos pengangkutan barangan ke kawasan pendalaman yang terpilih itu akan dibiayai oleh kerajaan," katanya.

 

RM34.27 juta bagi projek tebatan banjir Selangor

SHAH ALAM – Sebanyak RM34.27 juta diperuntukkan bagi memastikan keberkesanan pengurusan pembangunan projek tebatan banjir menerusi Belanjawan Selangor 2025.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini melibatkan Lembangan Sungai Klang dengan peruntukan sebanyak RM18.7 juta, Sungai Langat (RM9.3 juta), Sungai Selangor (RM3.2 juta).

Menurutnya, peruntukkan itu juga meliputi Lembangan Sungai Buloh (RM1 juta) dan beberapa lembangan lain termasuk di Sungai Bernam dan Sungai Kapar Besar dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

“Semua projek tebatan banjir ini perlu dilaksanakan segera, terutama di Lembangan Sungai Klang kerana pembangunan sangat pesat di lembangan tersebut. Ini mengakibatkan jumlah air larian yang sangat tinggi yang menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat ataupun banjir monsun.

“Selain itu, projek tebatan banjir ini akan dilaksanakan secara sinergi bersama projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai keberkesanan lebih menyeluruh dalam menangani isu banjir di Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Amirudin memberitahu, sistem saliran turut dibangunkan menerusi peruntukkan sebanyak RM2.07 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPNS) agar dapat menampung jumlah hujan dan air larian yang tinggi.

“Selain itu, fenomena air pasang besar yang berlaku baru-baru ini telah menjejaskan benteng di kawasan pesisiran pantai, terutama di daerah Sabak Bernam dan daerah Kuala Selangor.

“Justeru, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta pada tahun 2025 bagi pelaksanaan projek menaiktaraf benteng pantai di kawasan yang terjejas akibat fenomena air pasang besar tersebut,” jelasnya. – KOSMO!ONLINE

 

Sekolah terjejas banjir perlu laksana PdPR- KPM

Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta mana-mana sekolah di bawah kelolaannya yang terjejas banjir atau dijadikan pusat penempatan sementara (PPS) susulan Monsun Timur Laut (MTL) perlu melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, beliau yakin semua guru sudah terlatih dengan situasi yang berkait rapat dengan bencana alam khususnya dalam menangani isu banjir di sekolah.

Menurutnya, KPM sangat mengutamakan soal keselamatan murid di sekolah dan memastikan semua dapat belajar dalam persekitaran kondusif.

"Pertama kita akan pastikan sekolah selamat, kondusif untuk meneruskan pendidikan anak-anak ini.

"Kalau sekolah itu tidak dapat meneruskan pendidikan seperti biasa kerana proses ataupun tempoh masa banjir itu masih lagi lama, PdPR akan dilaksanakan.

"Semua guru sudah terlatih untuk membuat sebarang intervensi, khususnya terkait rapat dengan situasi banjir," katanya ketika diminta mengulas berhubung persediaan KPM dalam menghadapi MTL.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal merasmikan Penutupan Program My Lesen (B2) Tahun 2024 Parlimen Nibong Tebal di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Transkrian, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.

Seramai 656 peserta terdiri daripada pelajar, suri rumah dan nelayan memohon lesen percuma memandu B2 secara percuma.

Mengulas lanjut Fadhlina berkata, KPM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan yang merangkumi tindakan sebelum, semasa dan selepas banjir.

Justeru katanya, semua pihak termasuk sekolah perlu bersedia apabila institusi pendidikan mereka dijadikan PPS.

"Dalam pada itu, KPM juga menyediakan dua pasukan iaitu Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) bagi membantu murid dan pelajar untuk membantu murid dari aspek kaunseling dan pembelajaran," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search