Kota Kinabalu : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan luruan monsun kuat dijangka memasuki rantau negara bermula esok dan berterusan sehingga 13 Januari ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di beberapa negeri di Semenanjung, Sarawak dan timur Sabah dalam tempoh berkenaan.
“Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang melibatkan negeri Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak berkuat kuasa pada 10 hingga 12 Januari 2025.
“Pada masa yang sama, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora sedang berkuat kuasa bagi perairan Laut China Selatan sehingga 13 Januari ini,” menurut kenyataan itu di sini.
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.– SABAH MEDIA
Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangka tidak berlaku suhu panas luar biasa tahun ini, kata Ketua Pengarahnya Dr Mohd Hisham Mohd Anip.
Beliau berkata, jangkaan itu kerana tiada pengaruh fenomena El Nino yang diramal berlaku pada tahun ini.
"Tahun 2024 diiktiraf sebagai tahun paling panas dalam sejarah dunia menurut laporan State of the Climate 2024 yang dikemaskini oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada 11 November 2024 ketika persidangan Perubahan Iklim UNFCCC COP29 di Baku, Azerbaijan.
"Malaysia menduduki tangga keempat dalam senarai tahun paling panas pada 2024 dengan purata suhu harian 27.55 darjah celsius dengan peningkatan sebanyak 0.38 darjah celsius berbanding purata suhu jangka panjang dari 1991 hingga 2020," katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, Malaysia yang beriklim tropika secara umumnya mengalami suhu hampir seragam sepanjang tahun dengan suhu maksimum harian lazimnya berada dalam julat 32 hingga 34 darjah celsius.
"Dalam tempoh ini, kawasan terbabit berpotensi mengalami cuaca yang lebih panas daripada kebiasaan dengan suhu melebihi 35 darjah celsius.
"Malah, ia boleh mencapai tahap gelombang haba apabila suhunya melebihi 37 darjah celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut," katanya.
Berdasarkan Laporan Pemantau Air Global 2024 yang diterbitkan oleh sekumpulan penyelidik antarabangsa diketuai Albert van Dijk dari Australian National University (ANU), mendapati peningkatan suhu akibat perubahan iklim sedang mengubah cara air bergerak di seluruh dunia.
Menurut laporan itu, sebanyak 111 negara yang merangkumi kira-kira separuh populasi dunia mencatatkan tahun paling panas dalam sejarah pada 2024.
Van Dijk memaklumkan suhu udara di daratan pada 2024 adalah 1.2 darjah Celsius lebih tinggi berbanding permulaan abad ke-21 dan 2.2 darjah celsius lebih tinggi berbanding permulaan Revolusi Perindustrian.
Beijing: Gempa bumi dahsyat di wilayah Tibet mengorbankan sekurang-kurangnya 95 orang dan "banyak bangunan" runtuh pada Selasa, lapor media kerajaan, dengan gegaran turut dirasai di ibu negara Nepal, Kathmandu dan beberapa bahagian di India.
Video yang diterbitkan oleh penyiar negara China CCTV menunjukkan rumah musnah dengan dinding runtuh.
Pekerja penyelamat mengharungi runtuhan yang bertaburan di seluruh runtuhan selepas gempa bumi, manakala beberapa penduduk tempatan mula mengagihkan selimut tebal untuk memanaskan badan dalam suhu bawah sifar.
Imej pengawasan yang diterbitkan oleh CCTV menunjukkan orang ramai berlari melalui lorong kedai ketika rak bergegar dengan kuat, menyebabkan objek jatuh ke tanah.
"Seramai 95 orang telah disahkan maut dan 130 yang lain cedera setakat 3 petang (waktu tempatan)," kata agensi berita Xinhua.
Lebih 1,000 rumah telah rosak, lapor Xinhua sebelum ini.
Gempa bumi kuat melanda daerah Tingri dengan magnitud 6.8 berhampiran sempadan Nepal pada 9.05 pagi, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC). Kajian Geologi AS melaporkan gegaran itu berukuran 7.1 magnitud.
Sangji Dangzhi, yang pasar rayanya di daerah Tingri mengalami kerosakan yang besar, menyifatkan keadaan sebagai "sangat serius" dengan ambulans membawa orang ke hospital sepanjang hari.
"Di sini rumah-rumah diperbuat daripada tanah jadi apabila gempa bumi berlaku, banyak rumah runtuh," katanya yang pulang ke rumah dari Shigatse selepas gempa melanda.
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar hari ini mengesahkan, setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terjejas akibat gempa bumi berukuran 6.5 magnitud yang melanda kawasan kira-kira 84 kilometer (km) dari Lobuche, Nepal pada pagi Selasa.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia di Nepal supaya kekal berwaspada, mematuhi garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan berhati-hati dalam menghadapi situasi selepas gempa bumi.
Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu di Bakhundole-3, Lalitpur, melalui telefon di talian +977-1-5445680 atau +977-1-5445681 untuk pertanyaan umum atau +977-9801008000 untuk kecemasan.
Mereka juga boleh menghantar e-mel ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. untuk bantuan umum atau This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. bagi urusan imigresen.
Kementerian itu menegaskan komitmennya untuk memantau dengan teliti perkembangan dan memberikan maklumat terkini apabila perlu.
Gegaran itu turut dirasai di beberapa kawasan di India, termasuk Bihar, Assam dan Bengal Barat.
Sungai Petani: Sebanyak 12 keluarga nelayan yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran di Tanjung Dawai kelmarin, menerima bantuan RM132,000 daripada Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, setiap keluarga menerima RM11,000 yang diharap dapat meringankan beban mereka sepanjang menyewa rumah sebelum ada penempatan baharu dibina.
Muhammad Faiz berkata, perbincangan awal dengan kerajaan negeri sudah dilakukan untuk penempatan semula mangsa kebakaran itu.
"Status tanah dimaklumkan di bawah agensi kerajaan negeri Kedah. Jadi soal status tanah perlu diuruskan terlebih dahulu sebab kita tak boleh sewenang-wenangnya bina rumah baharu (di tapak sama) sebelum isu status tanah selesai.
"Ikut rekod tanah ini (lokasi kebakaran) bukan DI bawah LKIM," katanya.
Yusof yang mengalami kecederaan melecur di leher dan tangan dalam kebakaran itu berkata, buat masa ini, dia dan ahli keluarganya terpaksa memilih untuk tinggal di PPS, sementara mencari rumah sewa berdekatan.
Seorang lagi mangsa, Jahara Mohamad, 57, pula berharap agar dibantu dalam urusan mencari rumah sewa yang hampir dengan lokasi rumah yang terbakar.
"Kami sudah uzur... nak besarkan dua anak, seorang berada di sekolah berasrama penuh dan seorang lagi berada di universiti, kalau duduk jauh dari Tanjung Dawai susah suami saya (Mat Jusoh Zakaria, 67) nak turun ke laut seawal jam 5 pagi," katanya.