MetMalaysia jangka suhu panas luar jangka tidak berlaku tahun ini
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangka tidak berlaku suhu panas luar biasa tahun ini, kata Ketua Pengarahnya Dr Mohd Hisham Mohd Anip.
Beliau berkata, jangkaan itu kerana tiada pengaruh fenomena El Nino yang diramal berlaku pada tahun ini.
"Tahun 2024 diiktiraf sebagai tahun paling panas dalam sejarah dunia menurut laporan State of the Climate 2024 yang dikemaskini oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada 11 November 2024 ketika persidangan Perubahan Iklim UNFCCC COP29 di Baku, Azerbaijan.
"Malaysia menduduki tangga keempat dalam senarai tahun paling panas pada 2024 dengan purata suhu harian 27.55 darjah celsius dengan peningkatan sebanyak 0.38 darjah celsius berbanding purata suhu jangka panjang dari 1991 hingga 2020," katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, Malaysia yang beriklim tropika secara umumnya mengalami suhu hampir seragam sepanjang tahun dengan suhu maksimum harian lazimnya berada dalam julat 32 hingga 34 darjah celsius.
"Dalam tempoh ini, kawasan terbabit berpotensi mengalami cuaca yang lebih panas daripada kebiasaan dengan suhu melebihi 35 darjah celsius.
"Malah, ia boleh mencapai tahap gelombang haba apabila suhunya melebihi 37 darjah celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut," katanya.
Berdasarkan Laporan Pemantau Air Global 2024 yang diterbitkan oleh sekumpulan penyelidik antarabangsa diketuai Albert van Dijk dari Australian National University (ANU), mendapati peningkatan suhu akibat perubahan iklim sedang mengubah cara air bergerak di seluruh dunia.
Menurut laporan itu, sebanyak 111 negara yang merangkumi kira-kira separuh populasi dunia mencatatkan tahun paling panas dalam sejarah pada 2024.
Van Dijk memaklumkan suhu udara di daratan pada 2024 adalah 1.2 darjah Celsius lebih tinggi berbanding permulaan abad ke-21 dan 2.2 darjah celsius lebih tinggi berbanding permulaan Revolusi Perindustrian.