OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

29 cedera, gempa bumi 6.0 magnitud gegar Sulawesi Tengah

POSO: Gempa bumi dengan magnitud 6.0 menggegarkan daerah Poso di Sulawesi Tengah awal pagi tadi, mengakibatkan sekurang-kurangnya 29 orang cedera, termasuk dua dalam keadaan kritikal.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) melaporkan, gempa berlaku pada pukul 5.38 pagi (waktu tempatan) dengan pusat gegaran terletak di daratan pada kedalaman 10 kilometer, namun tidak berpotensi mencetuskan tsunami.

Gegaran kuat dirasakan selama kira-kira 15 saat di beberapa kawasan di Poso Pesisir, termasuk Desa Masani, Tokorondo, Towu, Pinedapa, Tangkura dan Lape, menyebabkan ramai penduduk bertempiaran keluar rumah untuk menyelamatkan diri.

Di daerah Sigi, kira-kira 82 kilometer dari pusat gempa, gegaran sederhana turut dirasakan selama tujuh saat.

Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Poso segera melakukan pemantauan serta berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengumpul data kerosakan dan jumlah mangsa.

Setakat ini, 13 mangsa dirujuk ke Hospital Daerah Poso dengan dua orang dalam keadaan kritikal, manakala enam lagi dirawat di Pusat Kesihatan Tokorondo manakala selebihnya mengalami kecederaan ringan.

Sebuah rumah ibadat, Gereja Jemaat Elim di Desa Masani turut dilaporkan mengalami kerosakan akibat gempa tersebut.

“Seramai 12 penduduk yang sedang mengikuti ibadah pagi cedera selepas ditimpa runtuhan bangunan dan segera dikejarkan ke hospital, manakala sebahagian lagi sempat menyelamatkan diri.

“Difahamkan, bangunan gereja tersebut masih dalam pembinaan. Struktur dinding hanya disokong dengan buluh dan kayu, menyebabkan runtuhan batu-bata serta bahan binaan menimpa penduduk ketika gegaran berlaku,” jelas badan itu.-AGENSI

 

9 maut, 3 hilang banjir kilat landa Inner Mongolia

BEIJING – Banjir kilat di Inner Mongolia mengorbankan sembilan orang dan menyebabkan tiga yang lain hilang, lapor media pemerintah China hari ini.

Sekumpulan 13 orang sedang berkhemah di Urat Rear Banner di Inner Mongolia apabila banjir kilat berlaku sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan) semalam, lapor agensi berita Xinhua.

Setakat pagi ini, seorang telah diselamatkan, manakala operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang sedang dijalankan.

Kementerian Pengurusan Kecemasan mengarahkan usaha menyelamat berskala penuh dijalankan, pengesahan status orang hilang dan menghantar petugas ke tempat kejadian.

Bencana alam adalah perkara biasa di seluruh China terutamanya pada musim panas, apabila sesetengah wilayah mengalami hujan lebat ketika yang lain dilanda suhu panas.

Jumlah kematian akibat banjir kilat dan banjir lumpur di barat laut China pada awal bulan ini adalah sekurang-kurangnya 13 orang, kata media kerajaan.

Hujan lebat di Beijing di bahagian utara turut mengorbankan 44 orang bulan lalu, dengan pinggir bandar di ibu negara itu paling teruk terjejas.

Selain itu, lapan lagi terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Hebei. – AFP

Puluhan cedera gempa bumi 6 magnitud landa tengah Indonesia

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 29 orang cedera, termasuk dua dalam keadaan kritikal, selepas gempa bumi berukuran 6 magnitud melanda pulau Sulawesi di tengah Indonesia pada pagi Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik seorang pegawai.

Seramai 13 mangsa yang cedera telah dikejarkan ke kemudahan perubatan di daerah Poso dan Tokorondo di wilayah Sulawesi Tengah akibat kecederaan dialami selepas ditimpa runtuhan sebuah rumah ibadat yang rosak, menurut jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Abdul Muhari.

Gempa bumi itu turut merosakkan sebuah gereja di Kampung Masani, manakala jumlah penduduk yang dipindahkan masih dalam pengesahan.

Gempa bumi berkenaan melanda Poso pada 5.38 pagi Ahad dengan pusat gempa berada pada kedalaman 10 kilometer.

Pihak berkuasa memaklumkan tiada potensi berlakunya tsunami. Gegaran selama kira-kira 15 saat itu dirasai dengan kuat di beberapa kampung di daerah Poso Pesisir, menyebabkan penduduk panik dan keluar meninggalkan rumah.

 

Di daerah berdekatan, Sigi, gegaran dirasai pada tahap sederhana selama kira-kira tujuh saat, namun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan.

Abdul Muhari berkata, penduduk digesa supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan dan mengelak daripada berada di bangunan yang rosak.

 

Bomba perkasa pendidikan keselamatan kebakaran melalui komuniti

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus memperkasa pendidikan keselamatan kebakaran dengan fokus pada pencegahan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata program kesedaran dilaksanakan secara menyeluruh untuk semua peringkat usia.

“Untuk kanak-kanak, kita mula dengan Kelab Bomba Cilik bagi umur lima hingga enam tahun,” katanya.

Beliau menekankan pendidikan asas keselamatan kebakaran dan pendedahan awal mengenai bahaya air.

Di peringkat sekolah menengah, program Kadet Bomba diteruskan manakala Briged Bomba ditubuhkan di institusi pengajian tinggi.

“Apabila mereka terlibat sejak kecil, mereka menjadi sebahagian daripada ‘keluarga bomba’,” jelas Nor Hisham.

JBPM juga melancarkan Bomba Junior untuk sekolah rendah dengan sambutan menggalakkan. “Kini kita sudah ada 273 pasukan Bomba Junior,” katanya.

Program ini merangkumi latihan asas seperti kawad disiplin dan kemahiran berenang. Nor Hisham berkata objektif utama ialah mendidik masyarakat tentang langkah pencegahan kebakaran.

“Ia juga melatih masyarakat lebih bersedia menghadapi kecemasan,” tambahnya. Program kesedaran turut dilaksanakan melalui ceramah, pameran, dan latihan kebakaran.

Inisiatif seperti ‘1 Rumah 1 Alat Pemadam Api’ dan SURI disasarkan lebih 12,000 program setahun. Nor Hisham menjelaskan tiada bayaran dikenakan untuk program di balai bomba kecuali penggunaan dewan.

“Kebanyakan pilih buat di bay jentera kerana suasana lebih dekat dengan dunia bomba,” katanya.

JBPM memanfaatkan inisiatif Community Fire Learning Centre (CFLC) untuk berkongsi pendidikan pencegahan.

“Kami minta penganjur beri masa 15 minit untuk taklimat kebakaran,” ujarnya. Pendekatan ini juga memupuk minat kanak-kanak terhadap kerjaya bomba.

“Ia memberi inspirasi awal kepada anak-anak,” kata Nor Hisham. Program komuniti ini mencerminkan perkhidmatan terbaik JBPM kepada masyarakat. - Bernama

 

Pelajar hilang di sungai: Arus kuat, sukarkan pencarian, bomba harap mangsa tak dihanyut ke luar muara

DUNGUN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Delong yang hilang dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama empat rakan di Sungai Kampung Delong, dekat sini, disambung semula hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Shahrizal Shamsudin, berkata operasi bermula 7 pagi ini membabitkan kekuatan 50 anggota bomba, polis dan penduduk kampung.

Pencarian diperluaskan meliputi kawasan sepanjang dua kilometer menggunakan bot termasuk dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

"Selain pencarian di sepanjang pesisir sungai, kita juga melakukan selaman di sekitar kawasan di mana lokasi tempat terakhir mangsa, Nik Zariff Maliqi Qausar Nik Sulaiman, 12, dilihat sebelum hilang," katanya.

Shahrizal berkata, keadaan air sungai yang keruh serta berarus kuat menyulitkan usaha pasukan penyelam mengesan kedudukan mangsa.

 

"Keadaan arus yang kuat mungkin menyebabkan mangsa hanyut dan kita berdoa mereka tidak hanyut keluar ke Muara Kuala Dungun. "Sehingga jam 11 .30 pagi ini mangsa belum ditemui," katanya.

Ibu bapa murid terbabit, Yusliza Jusoh, 45 dan Nik Sulaiman Nik Ismail, 48, turut berada di lokasi, namun usaha menemubual mereka belum berhasil.

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search