OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Bomba kesan 31 lokasi berisiko tanah runtuh di Pulau Pinang

Georgetown: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang sudah mengenal pasti sebanyak 31 lokasi berisiko berlaku tanah runtuh di negeri ini.

Pengarah JBPM Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata, kebanyakan lokasi tanah runtuh itu dalam daerah Timur Laut dan Barat Daya.

"Antaranya di Paya Terubong, Tanjung Bungah dan Batu Ferringhi yang mana ia adalah pengalaman kita sebelum ini menangani kes di kawasan berkenaan.

"Kita juga turut kenal pasti sebanyak 51 hotspot banjir di lima daerah negeri ini.

"Sebanyak 18 daripadanya ialah di daerah Seberang Perai Tengah, daerah Barat Daya (13), Timur Laut (10) dan masing-masing enam di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan," katanya.

Mohamad Shoki ditemui ketika lawatan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bersama agensi dan jabatan berkaitan ke Taman Seri Rambai, Paya Terubong hari ini bagi meninjau situasi semasa selepas kejadian tanah runtuh yang mengorbankan seorang lelaki warga emas.

Susulan itu, Mohamad Shoki berkata, cuti sebanyak 20 peratus pegawai dan anggota JBPM Pulau Pinang dibekukan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Prosedur itu adalah langkah biasa bagi jabatan berkenaan setiap kali menghadapi monsun itu.

"Kita nasihat masyarakat yang tinggal berhampiran lokasi berisiko tanah runtuh dan banjir perlu peka dengan keadaan sekeliling.

"Sekiranya terdapat tanda awal akan berlaku bencana, mereka diminta lapor kepada pihak berwajib untuk tindakan segera supaya tidak berlaku kes yang serius sehingga mengancam nyawa," katanya.

Razor-thin majority reinforces Pang’s determination to serve constituents

BINTULU (Oct 27): Tanjong Batu incumbent Johnny Pang Leong Ming is well aware that his victory in 2021 was thanks to a very slim 23-vote majority.

He said the narrow win has been constantly in his mind during his time as the area’s elected representative.

Pang, who is from Gabungan Parti Sarawak (GPS) component Sarawak United People’s Party (SUPP) polled 4,092 votes against the Democratic Action Party’s (DAP) Chiew Chan Yew, who managed 4,069 votes, ending DAP’s 20-year hold on the seat.

“Twenty-three votes. A number I will never forget for the rest of my life,” he said when reflecting on his five years in office.

“Behind every single vote was a precious trust that I could never afford to betray.”

Recalling the closely fought election, Pang said his team began visiting communities three years earlier to introduce themselves, listen to residents, and understand their aspirations.

He said the slim majority reinforced his determination to fulfil his responsibilities and serve the people to the best of his abilities.

Over the past five years, Pang said his team has worked on issues involving roads, drainage, flood mitigation, water supply, schools, healthcare, community facilities, and places of worship.

Based on a preliminary compilation, Pang said his team has helped coordinate and secure over RM100 million in development and community-related allocations for the constituency.

He said the team was active during Covid-19 relief efforts, distributing food and essential supplies to families and assisting healthcare workers during the vaccination programme.

The 2025 Bintulu floods were another defining experience, he said, as the team helped affected residents with flood relief and post-flood clean-up operations.

Pang thanked his team, government departments, community leaders, and residents for their support, while acknowledging that some projects remained ongoing and required further work.

“The people who truly deserve to evaluate my performance are the voters of Tanjong Batu,” he said.

“Five years together. Forever grateful for every one of you.”

Pang added his hopes for Tanjong Batu to continue to develop with better public facilities, more opportunities for young people, and an improved environment for children and senior citizens.

El Nino kuat kurangkan hujan lebat

KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino kuat berpotensi menyebabkan Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 membawa hujan lebih sedikit, sekali gus mengurangkan kejadian hujan lebat melampau.

Pakar Klimatologi, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang, berkata perkara itu berdasarkan dapatan beberapa kajian terdahulu yang menunjukkan kecenderungan berkenaan ketika episod El Nino kuat berlaku.

Katanya, El Nino mempengaruhi suhu permukaan laut di rantau ini, sekali gus mengubah corak penumpuan kelembapan menentukan taburan hujan.

Bagaimanapun, katanya, kesan fenomena itu terhadap MTL kali ini mungkin berbeza kerana setiap episod El Nino mempunyai ciri tersendiri, selain dipengaruhi perubahan iklim yang menyumbang kepada peningkatan suhu dan kelembapan.

"Corak MTL ketika El Nino kuat didapati cenderung melemah berdasarkan beberapa indikator, termasuk jumlah taburan hujan dan kejadian hujan ekstrem.

"Bagaimanapun, dapatan itu berdasarkan corak purata episod El Nino terdahulu dan keadaan ketika ini mungkin sedikit berbeza," katanya kepada BH.

Sebelum ini, BH melaporkan MTL dijangka bermula esok dan akan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Potensi jerebu rendah

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, dilapor berkata, ketika monsun berkenaan, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah timur laut.

Mengulas potensi berlaku jerebu rentas sempadan semasa MTL, Fredolin berkata, jerebu dijangka rendah kali ini berikutan tiupan angin konsisten dari arah timur laut ke selatan.

Katanya, kawasan Sumatera dan Kalimantan dijangka menerima taburan hujan tinggi yang secara semula jadi akan memadam kebakaran yang berlaku di kawasan terbabit.

Berhubung persediaan menghadapi hujan lebat sepanjang MTL, Fredolin berkata, METMalaysia berupaya menyediakan ramalan cuaca bagi tempoh lima hingga tujuh hari ke depan.

Katanya, ramalan itu penting bagi membolehkan persediaan awal dilaksanakan, khususnya di kawasan berisiko mengalami hujan lebat dan banjir.

 

GERAKAN desak kerajaan negeri henti semua projek lereng bukit, gesa polis siasat kelulusan projek dikaitkan dengan tragedi

GEORGETOWN: GERAKAN Pulau Pinang mendesak semua projek pembangunan lereng bukit di negeri ini dihentikan sementara, selain menggesa polis menyiasat proses kelulusan projek yang dikaitkan dengan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan seorang doktor, kelmarin.

Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Oh Tong Keong, berkata pihak berkuasa perlu mengenal pasti sama ada wujud kecuaian atau salah laku dalam proses kelulusan dan pemantauan projek berkenaan, lebih-lebih lagi apabila penduduk didakwa sudah membantah pembangunan itu sebelum kelulusan diberikan.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti semua projek pembangunan lereng bukit di Pulau Pinang, khususnya dari segi pematuhan terhadap syarat keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP).

"Kita meminta kerajaan negeri menghentikan semua projek terlebih dahulu, kemudian menubuhkan jawatankuasa untuk meninjau dan memeriksa sama ada pemaju mematuhi SOP pembangunan tanah di Pulau Pinang," katanya ketika ditemui hari ini.

Tong Keong turut menggesa polis, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyiasat keadaan yang membawa kepada kelulusan projek berkenaan serta mendedahkan hasil siasatan kepada orang ramai.

Beliau mempersoalkan mengapa kes berkenaan disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR), sambil menegaskan siasatan juga perlu meneliti proses kelulusan pembangunan dan sama ada langkah keselamatan sewajarnya dipatuhi.

Semalam, polis memaklumkan kes kematian Dr Wong Kar Lin, 73, yang maut dalam kejadian tanah runtuh itu masih disiasat sebagai SDR.

Perkara itu dimaklumkan walaupun hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tumpul dan kesukaran bernafas.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim, mengulangi bahawa polis hanya membuka siasatan berhubung laporan mati mengejut.

"Bagaimana kita boleh menjamin keselamatan rakyat di Pulau Pinang jika projek seperti ini masih diteruskan?" soal Tong Keong.

Beliau mendakwa penduduk sudah membantah projek berkenaan sejak Oktober 2017 kerana bimbang terhadap pembangunan lereng bukit serta aliran air yang menuruni cerun ketika hujan lebat.

Bagaimanapun, katanya, projek itu tetap diluluskan walaupun bantahan dikemukakan, selain proses rayuan turut dilakukan.

Tong Keong berkata, penduduk terus menyuarakan kebimbangan mereka, namun berasa tidak berdaya selepas pihak berkuasa memberikan kelulusan kepada pembangunan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri perlu bertanggungjawab menyemak semula projek lereng bukit yang sedang berjalan dan sudah diluluskan, termasuk memastikan pemaju mematuhi langkah keselamatan yang ditetapkan.

Beliau turut mempersoalkan tujuan pihak berkuasa mengeluarkan peringatan pemantauan kepada pemaju projek berkenaan serta sama ada pemeriksaan terkini sudah menghasilkan sebarang penemuan.

Katanya, laporan yang telus perlu disediakan bagi mengenal pasti jumlah projek lereng bukit yang beroperasi di Pulau Pinang dan menentukan sama ada pembangunan berkenaan menimbulkan risiko kepada penduduk berhampiran.

Beliau menegaskan, pendirian itu bukan bertujuan menolak semua pembangunan, sebaliknya memastikan keselamatan awam dan akauntabiliti diberi keutamaan, khususnya di kawasan padat penduduk yang mempunyai kediaman berhampiran cerun curam.

Sementara itu, New Straits Times masih menunggu maklum balas Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran.

 

 

 

 

 

Monsun Timur Laut: Kawasan rendah pantai barat Semenanjung berisiko hadapi bencana

KUALA LUMPUR: Kawasan rendah di pantai barat Semenanjung berisiko berdepan bencana dan penduduk diminta sentiasa berwaspada dan mengikuti ramalan serta amaran cuaca semasa Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula hari ini .

Felo utama, Pusat Perundingan Strategik Antarabangsa dan Matlamat Pembangunan Mampan (ISN-SDG), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata berdasarkan data sebelum ini, beberapa kawasan mula terjejas akibat hujan lebat termasuk di Yan, Kuala Muda dan Pendang, Kedah selain kawasan rendah di Pulau Pinang serta Penampang, Sabah yang dilanda banjir, semalam dan hari ini.

"Negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, dan Sabah terdedah kepada risiko banjir disebabkan oleh gabungan faktor geografi semula jadi selain kesan cuaca semasa peralihan monsun serta pembukaan MTL dijangka berterusan sehingga Mac 2027.

"Ketika MTL bermula, angin kencang bukan sahaja membawa hujan berterusan tetapi juga menaikkan paras air laut di beberapa kawasan pesisir pantai.

"Apabila hujan lebat turun serentak dengan fenomena air pasang besar, air sungai tidak dapat mengalir keluar ke laut. Aliran air ini akan bertembung, tersangkut dan melimpah semula ke kawasan daratan dan sistem perparitan perumahan.

"Keadaan ini bertambah buruk sekiranya sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Dr Chung Jing Xiang, berkata berkata MTL yang melanda negara bermula hari ini, dijangka tidak mendatangkan kesan begitu teruk berbanding kebiasaan susulan negara masih dipengaruhi fenomena El Niño.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak bermaksud orang ramai boleh mengabaikan pemantauan risiko semasa MTL.

"Menjelang MTL, cuaca akan menjadi lebih basah dan sejuk bagi sesetengah kawasan kerana angin timur laut bertiup ke arah negara kita yang asalnya dari benua Asia merentasi Laut China Selatan sekali gus membawakan kelembapan tambahan ke Malaysia.

"Kelembapan tambahan ini akan membentuk awan perolakan di negara kita dan menyebabkan cuaca menjadi lebih mendung dan berawan.

"Sekiranya keadaannya tepat, hujan yang sangat lebat boleh terbentuk dan jika situasi menjadi teruk, ia boleh menyebabkan banjir besar," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kejadian luruan sejuk dengan angin timur laut sangat kuat boleh terjadi dan meningkatkan risiko terjadinya hujan amat lebat sekali gus menyebabkan banjir terutama di Pantai Timur Semenanjung dan Pantai Barat Sabah-Sarawak.

"Selain itu, pembentukan lekukan tekanan rendah yang dikenali sebagai Borneo vortex boleh terbentuk di kawasan perairan pantai barat Sabah-Sarawak.

"Disebabkan lekukan tekanan rendah adalah satu titik penumpuan kelembapan, ia boleh mengakibatkan hujan lebat di kawasan pantai barat Sabah-Sarawak.

"Lazimnya, Borneo vortex ini akan berkekalan selama beberapa hari di perairan Sabah-Sarawak dan kemudiannya 'hilang'. Namun, jika keadaan mengizinkan, ia boleh bergerak ke arah Semenanjung menyebabkan hujan lebat di kawasan pantai timur.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, kebiasaannya negeri di Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Pahang, Johor serta barat Sarawak berisiko terjejas susulan MTL.

"Di pihak kami, bilik gerakan MET mula dibuka hari ni bagi memantau situasi MTL lebih teliti. Pembukaan bilik gerakan itu membabitkan semua pejabat MET negeri di seluruh negara," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia dijangka memasuki fasa MTL 2026/2027 bermula hari ini dan berterusan sehingga Mac 2027.

 

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search