OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

El Nino kuat kurangkan hujan lebat

El Nino kuat kurangkan hujan lebat

KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino kuat berpotensi menyebabkan Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 membawa hujan lebih sedikit, sekali gus mengurangkan kejadian hujan lebat melampau.

Pakar Klimatologi, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang, berkata perkara itu berdasarkan dapatan beberapa kajian terdahulu yang menunjukkan kecenderungan berkenaan ketika episod El Nino kuat berlaku.

Katanya, El Nino mempengaruhi suhu permukaan laut di rantau ini, sekali gus mengubah corak penumpuan kelembapan menentukan taburan hujan.

Bagaimanapun, katanya, kesan fenomena itu terhadap MTL kali ini mungkin berbeza kerana setiap episod El Nino mempunyai ciri tersendiri, selain dipengaruhi perubahan iklim yang menyumbang kepada peningkatan suhu dan kelembapan.

"Corak MTL ketika El Nino kuat didapati cenderung melemah berdasarkan beberapa indikator, termasuk jumlah taburan hujan dan kejadian hujan ekstrem.

"Bagaimanapun, dapatan itu berdasarkan corak purata episod El Nino terdahulu dan keadaan ketika ini mungkin sedikit berbeza," katanya kepada BH.

Sebelum ini, BH melaporkan MTL dijangka bermula esok dan akan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Potensi jerebu rendah

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, dilapor berkata, ketika monsun berkenaan, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah timur laut.

Mengulas potensi berlaku jerebu rentas sempadan semasa MTL, Fredolin berkata, jerebu dijangka rendah kali ini berikutan tiupan angin konsisten dari arah timur laut ke selatan.

Katanya, kawasan Sumatera dan Kalimantan dijangka menerima taburan hujan tinggi yang secara semula jadi akan memadam kebakaran yang berlaku di kawasan terbabit.

Berhubung persediaan menghadapi hujan lebat sepanjang MTL, Fredolin berkata, METMalaysia berupaya menyediakan ramalan cuaca bagi tempoh lima hingga tujuh hari ke depan.

Katanya, ramalan itu penting bagi membolehkan persediaan awal dilaksanakan, khususnya di kawasan berisiko mengalami hujan lebat dan banjir.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search