OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

71.3 peratus kawasan England dilanda kemarau

LONDON: Kira-kira 71.3 peratus kawasan England kini dilanda kemarau, kata kerajaan United Kingdom (UK) pada Isnin, selepas negara itu mengalami bulan Julai paling kering dalam rekod, selain menghadapi gelombang haba kelima dengan hujan yang dijangka sangat sedikit pada minggu akan datang.

Taman dan padang yang biasanya menghijau pada waktu ini kelihatan kering dan kekuningan, menurut gambar AFP, ketika paras sungai semakin menyusut dan petani yang berdepan hasil tanaman rendah memberi amaran mengenai kemungkinan kekurangan makanan.

“Hampir tiga perempat England kini dilanda kemarau apabila keadaan semakin buruk susulan permulaan Ogos yang kering,” kata Jabatan Alam Sekitar, ketika beberapa kawasan di Midlands tengah dan timur laut England turut mengalami cuaca kering berpanjangan seperti kawasan lain di negara itu.

“Semua wilayah di negara ini berdepan tekanan terhadap sumber air mereka,” kata jabatan itu, sambil menambah bahawa tiada kawasan di UK kini berada pada status normal.

Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (DEFRA) berkata, kebanyakan kawasan England sedang mengalami kemarau mendadak, yang berlaku dengan cepat akibat jumlah hujan yang sangat rendah dan suhu tinggi.

Ia merupakan kemarau ketiga yang dialami Britain dalam tempoh lima tahun, meskipun negara itu biasanya terkenal dengan cuaca basah yang sukar dijangka. 

Lebih 50 peratus kawasan England diisytiharkan mengalami kemarau pada penghujung Julai.

Britain juga kini berdepan gelombang haba kelima pada musim panas 2026, yang menyaksikan beberapa rekod suhu berjaya dipecahkan. – AFP

38 sungai, tali air ‘lubuk lemas’

PETALING JAYA: Sebanyak 38 sungai dan tali air dikategorikan sebagai ‘lubuk lemas’ atau kawasan panas (hotspot) di seluruh negara.

Kesemua kawasan terlibat dikenal pasti berdasarkan kekerapan insiden meragut nyawa antara dua hingga empat kes di sesuatu lokasi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, empat negeri diklasifikasikan sebagai amat kritikal kerana mempunyai lebih daripada satu hotspot iaitu Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Di Terengganu kawasan yang dikenal pasti antaranya ialah Sungai Telemong dan Air Terjun Belukar Bukit. Pahang pula melibatkan Sungai Bentong, Sungai Triang, Air Terjun Berkelah dan Air Terjun Lata Cangkah.

“Sabah di Kampung Contoh Putatan, Kampung Kalangkaan dan Kampung Kalandos Pansi manakala Sarawak di Kampung Kalandos Pansi, Jeti Feri Tanjung Kunyit dan Pulau Satang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nor Hisham berkata, sungai dan tali air kekal menjadi ancaman utama mati lemas apabila menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan 2,301 kes yang direkodkan bagi tempoh 2018 sehingga Jun 2026.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, kawasan itu menca­tatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 1,275 kes yang mewakili 55 peratus daripada keseluruhan insiden.

“Ini diikuti oleh kawasan pantai yang merekodkan 602 kes kematian (26 peratus), tasik dan lombong dengan 187 kes (lapan peratus) manakala air terjun serta jeram mencatatkan 169 kes (tujuh peratus). Kawasan pembentungan pula merekodkan jumlah terendah iaitu 68 kes (tiga peratus).

“Malah bagi separuh pertama 2026 sahaja, sebanyak 134 kes lemas dilaporkan dengan kawasan sungai dan tali air terus mendominasi dengan 90 kes atau 67 peratus,” katanya.

Beliau berkata, kecenderu­ngan sungai menjadi lokasi pa­ling berisiko tinggi dipengaruhi oleh peningkatan aktiviti rekreasi terutamanya pada hujung minggu, cuti sekolah dan musim perayaan.

“Selain faktor tumpuan pengunjung, ciri-ciri semula jadi seperti perubahan kedalaman air secara mendadak, arus deras, pusaran air dan fenomena arus karau sering dipandang remeh oleh orang ramai.

“Sikap terlalu yakin dengan kemampuan berenang, mengabaikan papan tanda amaran dan kecuaian mengawasi kanak-kanak turut menjadi punca utama tragedi berulang,” katanya.

Menurut Nor Hisham, penutupan kawasan rekreasi popular seperti air terjun atau pantai bagi menangani isu lemas bukan penyelesaian utama sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada pengurusan risiko secara bersasar dan mempertingkatkan penguatkuasaan serta kesedaran awam.

“Penutupan kawasan rekreasi hanya wajar dilaksanakan secara bersasar dan sementara apabila wujud ancaman jelas seperti fenomena kepala air, cuaca buruk, ombak besar atau arus deras demi keselamatan nyawa,” katanya.-UTUSAN.

Jerebu kembali melanda negara

PETALING JAYA: Fenomena jerebu yang pernah melanda negara kembali memburuk apabila 12 kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) susulan fenomena Super El-Nino dan kebakaran hutan di Indonesia.

Cuaca panas yang melanda rantau ini sejak minggu lalu menyebabkan lebih 107,000 hektar kawasan hutan terbakar di seluruh Indonesia setakat ini, kira-kira dua kali ganda berbanding keluasan yang direkodkan sebelum ini. 

Situasi itu memaksa aktiviti luar bilik darjah bagi sekolah di Sarawak yang berada di kawasan mencatatkan IPU melebihi 100 diarahkan dihentikan serta-merta.

Dalam pada itu, jerebu semakin buruk apabila kualiti udara 12 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU  tahap tidak sihat susulan fenomena Super El-Nino dan kebakaran hutan di Indonesia.

Sistem Pengurusan Indeks Pen­cemaran Udara (APIMS) setakat pu­kul 4 petang semalam me­nunjukkan Serian, Sarawak mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu 190. 

Selain itu, 11 lokasi IPU tidak sihat adalah Samarahan dengan bacaan 169, Kuching (166), Bintulu (159), Samalaju (155), Mukah (155), Sri Aman (155), Sibu (154), Sarikei (154), Johan Setia, (151) dan Miri (145) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (119).

Pada masa sama, sebanyak 22 kawasan di Selangor, Putrajaya, Melaka, Labuan, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Johor turut mencatatkan IPU sederhana melebihi bacaan 80.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai sihat, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (berbahaya).

Sebanyak lima kawasan di Lembah Klang mencatatkan bacaan IPU melebihi 80 iaitu membabitkan Shah Alam pada kadar 98, Banting (92), Petaling Jaya (88), Kuala Selangor (87) dan Klang (83).

Kawasan lain mencatatkan bacaan melebihi 80 adalah Putrajaya pada kadar 97, Cheras (92), Batu Muda (90) dan Labuan (89).

Beberapa kawasan di Johor turut dilaporkan terjejas membabitkan Segamat pada bacaan 86, Batu Pahat (82), Kluang (81), Pasir Gudang (81) dan Tangkak (80).

Lain-lain kawasan yang mencatatkan bacaan melebihi 80 adalah Bukit Rambai, Melaka (90); Temerloh, Pahang (87); Alor Gajah, Melaka (86); Tanjung Malim, Perak (85); Nilai, Negeri Sembilan (84); Kota Kinabalu, Sabah (83); Politeknik Kota Kinabalu, Sabah (83) dan Seremban, Negeri Sembilan (82).

Semalam, media Indonesia melaporkan lebih 107,000 hektar kawasan hutan dan tanah di seluruh negara tersebut terjejas akibat kebakaran dengan kerajaannya meningkatkan usaha bagi mengelakkan jerebu rentas sempadan menjejaskan negara jiran.

Enam wilayah, iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan, sedang dipantau rapi sebagai kawasan paling kritikal.

Situasi itu menyebabkan puluhan sekolah di Indonesia ditutup untuk hari kedua berturut-turut pada Selasa susulan krisis jerebu akibat kebakaran hutan yang semakin buruk di seluruh negara itu.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Djamari Chaniago berkata, situasi tersebut berlaku pada permulaan musim kemarau yang panjang dan lebih ekstrem tahun ini, yang turut dipengaruhi fenomena cuaca El Nino.

“Kami telah menegaskan kepada anggota di lapangan bahawa usaha ini bukan sekadar memadamkan kebakaran dan melindungi alam sekitar serta kesihatan awam. Sebaliknya ia juga adalah tanggungjawab negara yang perlu dipikul bersama,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan fenomena El Nino berpotensi menjadi kuat dan boleh mencapai tahap super dengan kebarangkalian peningkatan 96 peratus hingga awal tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ramalan terkini daripada Pusat Ramalan Iklim (CPC) Amerika Syarikat menunjukkan peluang El Nino berlaku mulai bulan ini adalah 82 peratus.

Fenomena El Nino yang kuat boleh mempercepatkan kebakaran hutan dan tanah serta dijangka berterusan sehingga sekitar awal Oktober atau awal tahun depan.-UTUSAN

 

 

 

 

China guna alasan taufan kawal trafik Selat Taiwan

TAIPEI: Taiwan menyifatkan cubaan China mengenakan langkah kawalan trafik terhadap kapal yang menuju ke Selat Taiwan ketika Taufan Dolphin melanda sebagai ‘tidak masuk akal’, menegaskan Beijing tidak berhak menyekat akses ke perairan antarabangsa.

Pada Rabu, media kerajaan China melaporkan, kapal yang menuju ke utara melalui pintu masuk selatan Selat Taiwan perlu mematuhi langkah kawalan trafik bermula malam Khamis  berikutan kedatangan taufan berkenaan.

Menurut laporan itu, semua kapal perlu mematuhi arahan berkenaan, memilih perairan selamat untuk berlindung daripada ribut serta mengikut arahan pihak berkuasa pengurusan maritim di lokasi bagi memastikan keselamatan pelayaran.

“Kenyataan tidak munasabah dan kasar daripada jabatan Parti Komunis China berkenaan mencerminkan kejahilan, sikap tidak mengendahkan serta pencabulan terhadap ketertiban dan norma antarabangsa. Ia benar-benar tidak masuk akal.

“Urusan Taiwan sendiri tidak memerlukan campur tangan Parti Komunis China,” kata Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Taiwan dalam satu kenyataan dipetik Reuters.

Dalam kenyataan berasingan, Pengawal Pantai Taiwan berkata, pihaknya tidak mengesan sebarang pergerakan luar biasa oleh kapal China dan tiada syarikat perkapalan melaporkan mengalami gangguan siaran.

Pengawal Pantai turut menggesa kapal dagang dan kapal kargo yang melalui kawasan itu supaya mengabaikan sebarang arahan melalui siaran radio daripada China yang mungkin diterima serta segera melaporkan kejadian berkenaan.

Pihak berkuasa berkata, mereka akan mengambil semua langkah yang diperlukan bagi memastikan kebebasan dan keselamatan pelayaran.

Taufan Dolphin bergerak ke Jepun dan utara Taiwan sebelum melanda pantai timur China lewat Sabtu.

Gempa bumi sederhana landa selatan Sumatera

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter melanda Selatan Sumatera, Indonesia pada 11.15 malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan semalam memaklumkan gempa bumi itu berpusat pada koordinat enam darjah selatan dan 102.4 darjah timur dengan kedalaman 78 kilometer (km).

Menurut kenyataan itu, lokasi berkenaan terletak pada jarak 239 km barat daya dari Pagar Alam, Indonesia. Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search