OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

38 sungai, tali air ‘lubuk lemas’

38 sungai, tali air ‘lubuk lemas’

PETALING JAYA: Sebanyak 38 sungai dan tali air dikategorikan sebagai ‘lubuk lemas’ atau kawasan panas (hotspot) di seluruh negara.

Kesemua kawasan terlibat dikenal pasti berdasarkan kekerapan insiden meragut nyawa antara dua hingga empat kes di sesuatu lokasi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, empat negeri diklasifikasikan sebagai amat kritikal kerana mempunyai lebih daripada satu hotspot iaitu Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Di Terengganu kawasan yang dikenal pasti antaranya ialah Sungai Telemong dan Air Terjun Belukar Bukit. Pahang pula melibatkan Sungai Bentong, Sungai Triang, Air Terjun Berkelah dan Air Terjun Lata Cangkah.

“Sabah di Kampung Contoh Putatan, Kampung Kalangkaan dan Kampung Kalandos Pansi manakala Sarawak di Kampung Kalandos Pansi, Jeti Feri Tanjung Kunyit dan Pulau Satang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nor Hisham berkata, sungai dan tali air kekal menjadi ancaman utama mati lemas apabila menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan 2,301 kes yang direkodkan bagi tempoh 2018 sehingga Jun 2026.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, kawasan itu menca­tatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 1,275 kes yang mewakili 55 peratus daripada keseluruhan insiden.

“Ini diikuti oleh kawasan pantai yang merekodkan 602 kes kematian (26 peratus), tasik dan lombong dengan 187 kes (lapan peratus) manakala air terjun serta jeram mencatatkan 169 kes (tujuh peratus). Kawasan pembentungan pula merekodkan jumlah terendah iaitu 68 kes (tiga peratus).

“Malah bagi separuh pertama 2026 sahaja, sebanyak 134 kes lemas dilaporkan dengan kawasan sungai dan tali air terus mendominasi dengan 90 kes atau 67 peratus,” katanya.

Beliau berkata, kecenderu­ngan sungai menjadi lokasi pa­ling berisiko tinggi dipengaruhi oleh peningkatan aktiviti rekreasi terutamanya pada hujung minggu, cuti sekolah dan musim perayaan.

“Selain faktor tumpuan pengunjung, ciri-ciri semula jadi seperti perubahan kedalaman air secara mendadak, arus deras, pusaran air dan fenomena arus karau sering dipandang remeh oleh orang ramai.

“Sikap terlalu yakin dengan kemampuan berenang, mengabaikan papan tanda amaran dan kecuaian mengawasi kanak-kanak turut menjadi punca utama tragedi berulang,” katanya.

Menurut Nor Hisham, penutupan kawasan rekreasi popular seperti air terjun atau pantai bagi menangani isu lemas bukan penyelesaian utama sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada pengurusan risiko secara bersasar dan mempertingkatkan penguatkuasaan serta kesedaran awam.

“Penutupan kawasan rekreasi hanya wajar dilaksanakan secara bersasar dan sementara apabila wujud ancaman jelas seperti fenomena kepala air, cuaca buruk, ombak besar atau arus deras demi keselamatan nyawa,” katanya.-UTUSAN.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search