OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pembenihan awan hari ketiga berjaya - Zahid Hamidi

Pembenihan awan hari ketiga berjaya - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang memasuki hari ketiga hari ini dilaksanakan dengan lancar dengan tumpuan di kawasan tadahan Empangan Temenggor dan Empangan Bukit Merah di Perak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata operasi itu digerakkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan semua petugas telah selamat kembali ke pangkalan selepas misi selesai.

"Sebanyak empat tangki bancuhan larutan garam digunakan dalam operasi berkenaan dengan setiap tangki mengandungi 200 kilogram (kg) natrium klorida yang dilarutkan dalam 1,500 liter air sebelum disembur ke dalam formasi awan kumulus menara di kawasan sasaran.

"Alhamdulillah, operasi berjalan dengan baik dan teratur. Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas yang bertungkus-lumus memastikan misi ini berjaya dilaksanakan," katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Beliau turut berharap usaha berkenaan memberi kesan positif khususnya dalam meningkatkan paras air empangan sekali gus menjamin bekalan air kepada rakyat.

 

"Pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa dan segala usaha akan diperkukuh demi memastikan kesejahteraan negara terus terpelihara.

"Semoga setiap ikhtiar ini dipermudahkan dan diberkati," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), berkata OPA yang dilaksanakan semalam dikategorikan sebagai berjaya apabila data daripada stesen cerapan dan sistem MyRAE METMalaysia menunjukkan taburan hujan ketara di dua negeri.

Katanya, data di Perlis menunjukkan taburan hujan antara 10 milimeter (mm) hingga 45mm dari jam 7 hingga 8 malam, manakala di Kedah mencatatkan antara 6mm hingga 57.4mm dari jam 7 hingga 10 malam.

OPA memberi tumpuan kepada 11 empangan utama dalam kategori waspada, amaran dan kritikal membabitkan tiga negeri di utara membabitkan Perak, Kedah dan Perlis, serta satu kawasan di selatan Semenanjung iaitu Johor bermula 6 April hingga 8 April hari ini.

Operasi semalam menyasarkan kawasan tadahan Empangan Muda, Pedu dan Ahning di Kedah dan Empangan Timah Tasoh di Perlis dengan teknik semburan larutan garam ke dalam formasi awan kumulus menara dengan menggunakan pesawat C130-Hercules milik TUDM.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search