OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Peperiksaan lancar di seluruh negara

Peperiksaan lancar di seluruh negara

Kuala Lumpur: Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang bermula semalam membabitkan 395,870 calon di 3,340 pusat peperiksaan di seluruh negara berjalan lancar, termasuk di negeri terjejas banjir, iaitu Pahang dan Terengganu.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan, Azman Adnan, berkata tiada sebarang isu berhubung calon terjejas dan tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan dilaporkan setakat pagi semalam.

“Setakat ini, perjalanan SPM di seluruh negara tidak ada masalah atau ada isu murid kita terjejas ke pusat peperiksaan walaupun ada kawasan tertentu di beberapa negeri masih dilanda banjir,” katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Tun Fatimah di Johor Bahru, semalam.

Mengulas situasi di Johor, Azman berkata, sebanyak 18 sekolah menengah di Batu Pahat,

Kluang, Kota Tinggi, Segamat, Kulai dan Tangkak sedia diaktifkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi persediaan menghadapi banjir.

Beliau turut menjelaskan peperiksaan SPM di sekolah yang digunakan sebagai PPS, tidak akan terjejas dan tetap diteruskan seperti biasa di negeri itu yang membabitkan 48,426 calon di 364 pusat di 301 sekolah.

Di Pahang, sejumlah 20,271 calon menduduki peperiksaan SPM di 258 pusat peperiksaan seluruh negeri, yang turut membabitkan 2,184 petugas, termasuk 274 sukarelawan peperiksaan yang dilantik dengan tiada pusat peperiksaan dilaporkan terjejas bencana banjir, menurut Pengarah Pendidikan Pahang Amzan Abd Malek.

Di Terengganu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Jelani Sulong, berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk menggerakkan Op Payung sekiranya banjir melanda sekolah terbabit dengan peperiksaan itu, selain sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan.

Di Kelantan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz, berkata tujuh pusat peperiksaan alternatif turut disediakan bagi calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai persiapan sekiranya berlaku banjir di negeri itu.

“Pusat peperiksaan yang terbabit itu ialah enam sekolah di Pasir Mas dan sebuah sekolah di Tumpat yang lazimnya akan dinaiki air jika berlaku banjir.

“Dianggarkan lebih 600 calon akan terjejas banjir sekiranya sekolah mereka dinaiki air,” katanya selepas melakukan tinjauan hari pertama SPM 2023 di SMK Dato’ Ahmad Maher di Kota Bharu semalam.

Tiada terbabit bencana

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Roslan Abu Hassan, berkata peperiksaan SPM kali ini membabitkan sejumlah 19,765 orang merangkumi calon di sekolah kerajaan (15,817), sekolah agensi kerajaan (240), sekolah swasta (2,500) dan calon persendirian (1,208).

Ketika ditemui melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur, beliau berkata peperiksaan itu yang dimulakan dengan ujian bertutur dan ujian mendengar bulan lalu sehingga ujian bertulis bermula semalam berjalan lancar dengan tiada pelajar dan sekolah di ibu negara terbabit dengan bencana setakat ini.

Di Putrajaya, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ezaiddin Hussain, berkata sebanyak 1,907 calon mendaftar menduduki peperiksaan SPM 2023 dengan 18 daripada jumlah itu adalah calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) terdiri daripada kategori masalah pembelajaran, ketidakupayaan intelektual, penglihatan dan fizikal.

“Setakat ini, kita ada seorang calon terbabit dalam kemalangan jalan raya yang patah tangan dan menduduki peperiksaan di hospital,” katanya.

Di Negeri Sembilan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Ahmad Rafee Che Kassim, berkata sejumlah 15,977 calon menduduki peperiksaan di negeri itu.

Selain itu, di Selangor, 72,929 calon termasuk calon persendirian mendaftar untuk menduduki SPM 2023 membabitkan 491 pusat peperiksaan yang turut membabitkan 8,046 petugas peperiksaan dilantik, kata Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Hanisah Mohd Ali.

Hanisah berkata calon peperiksaan turut dinasihatkan

untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau bilik operasi JPN Selangor melalui talian 0355186114, sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan berikutan bencana.

Di Melaka, sejumlah 12,900 pelajar menduduki peperiksaan SPM di 103 pusat peperiksaan di seluruh negeri merangkumi calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan serta sekolah agama bantuan kerajaan dan turut membabitkan 65 calon berkeperluan khas seperti masalah penglihatan, pendengaran, fizikal dan autisme, manakala empat calon menduduki peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan.

Sementara itu, di Kedah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Ismail Othman, mengingatkan kepada 29,044 calon supaya menjaga kesihatan dan keselamatan diri sepanjang tempoh peperiksaan ini kerana sebarang kejadian yang tidak diingini boleh menjejaskan peluang mereka untuk menduduki peperiksaan SPM.

Selain itu, terdapat 3,455 calon di Perlis, Perak (31,411), Pulau Pinang (18,837) dan Sabah (38,778) dilaporkan menduduki peperiksaan semalam.

BERNAMA

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search