Jerebu: 17 stesen rekodkan IPU tidak sihat
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi ini, dengan Johan Setia, Selangor mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 162.
Berdasarkan data terkini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), empat stesen di Selangor mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Klang (160), Petaling Jaya (157), Shah Alam (156) dan Banting (154).
Di Negeri Sembilan, tiga stesen turut merekodkan bacaan tidak sihat, masing-masing Nilai (159), Seremban (159) dan Port Dickson (106).
Sementara itu, di Kuala Lumpur iaitu Batu Muda (157) dan Cheras (136); diikuti Putrajaya (153); manakala di Melaka tiga stesen iaitu Bukit Rambai (151), Alor Gajah (121) dan Bandaraya Melaka (120).
Dua stesen di Johor turut mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Batu Pahat (151) dan Tangkak (140); manakala di Sarawak hanya satu iaitu Sri Aman (151).
Sebaliknya, dua stesen di Sabah dan Terengganu merekodkan bacaan IPU pada tahap baik, iaitu Kimanis (48) dan Kemaman (47).
Sebanyak 49 stesen lain pula merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana.
Sementara itu, berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa negeri sehingga jam 9 pagi ini.
Amaran itu dijangka berlaku di Pulau Pinang; Perak (Kerian, Manjung dan Larut Matang); Pahang (Maran, Bera, Cameron Highlands dan Lipis); Selangor (Hulu Langat, Petaling, Klang, Kuala Langat dan Sepang); Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) dan Melaka.
Kawasan lain di Sarawak membabitkan Bintulu (Bintulu dan Tatau), Betong (Pusa, Kabong dan Saratok), Sarikei (Sarikei); manakala di Sabah, kawasan pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Membakut), Pantai Barat (Papar, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Kudat, Tawau (Kalabakan dan Tawau) dan Labuan.
