OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pantang hujan sejam, mesti banjir kilat – Warga Pangkor

Pantang hujan sejam, mesti banjir kilat – Warga Pangkor

LUMUT – Penduduk Pulau Pangkor menggesa pihak berwajib untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu banjir kilat yang membelenggu kehidupan mereka sejak sekian lama.

Menurut penduduk Kg. Sungai Pinang Besar, Robiah Maisan, 77, dia yang telah menetap di sana sejak belasan tahun lalu berhadapan dengan masalah banjir kilat setiap kali hujan turun melebihi sejam.

“Kami di kampung ini memang sentiasa berwaspada kerana banjir kilat merupakan masalah yang sering berlaku setiap kali hujan.

“Boleh dikatakan setiap kali hujan lebat melebihi sejam, memang air akan naik dan kami sudah letih dengan banjir kilat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Robiah berkata, banjir kilat yang berlaku pada Ahad lalu merupakan yang terburuk baginya dan ia menyebabkan kemusnahan harta benda di kediamannya.

Dia yang menetap bersama seorang anak lelakinya berkata, hujan lebat selama lebih dua jam menyebabkan rata-rata penduduk di kampungnya menjadi mangsa banjir.

“Banjir kilat kali ini menyebabkan perkakas elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk rosak. Hendak baiki peralatan itu bukannya murah.

“Kalau mesin basuh sahaja mesti cecah RM200 kos pembaikannya. Saya harap sangat sesuatu dapat dilakukan bagi mengatasi isu banjir kilat ini,” katanya.

Media kelmarin melaporkan hujan melebihi dua jam menyebabkan beberapa kawasan di Pangkor dinaiki air.

Kawasan yang terlibat ialah Kg. Sungai Pinang Besar, Kg. Masjid, Kg Teluk Kecil, Kg. Hussin, Teluk Gedung, Kg. Tengah, Rumah Murah, Taman Pangkor Mutiara dan Taman Sri Pangkor.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Perak (DUN Pangkor), Datuk Mohd Rafiq Mohd berkata, kejadian banjir kilat memang kerap berlaku di Pangkor, justeru sistem saliran di pulau itu perlu ditambah baik untuk mengatasi itu berkenaan.

“Saya berharap semua agensi berkaitan dapat berbincang bagi menyelaras sistem saliran di Pangkor supaya peningkatan kuantiti air semasa hujan dan fenomena air pasang penuh yang bertembung tidak menyebabkan banjir kilat.

“Difahamkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mahu mewujudkan kolam tadahan di kawasan seperti Kg. Tengah yang akan mengalirkan air lebihan ketika hujan ke laut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search