OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Polis Indonesia sahkan pembabitan pihak asing dalam 98 kes kebakaran hutan

Polis Indonesia sahkan pembabitan pihak asing dalam 98 kes kebakaran hutan

JAKARTA: Polis Indonesia mengesahkan pembabitan pihak asing, termasuk dari negara jiran, dalam kes korporat berkaitan kebakaran hutan dan tanah, dengan 98 kes kini dalam siasatan.

Ketua Polis Negara Jeneral Suyudi Ario Seto berkata Badan Penyiasatan Jenayah (Bareskrim) sedang berusaha mengenal pasti bentuk pembabitan itu serta pihak yang bertanggungjawab.

"Daripada 98 kes korporat yang sedang kita siasat, terdapat pembabitan pihak asing, namun siasatan masih dijalankan.

"Kita masih menentukan kes yang babitkan pelaburan asing atau pihak asing dan yang tidak," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Terhad bersama Presiden Prabowo Subianto di Jakarta pada Isnin.

Suyudi berkata penyiasat sedang mengumpul bukti dan dijangka menamakan suspek tidak lama lagi, termasuk pemilik syarikat dan pemegang saham yang boleh dipertanggungjawabkan atas kebakaran itu.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Dudung Abdurachman menggesa supaya operasi pemadaman kebakaran dipertingkat tanpa menunggu hujan, dengan menekankan keperluan untuk tindakan segera dan berterusan.

"Presiden mengarahkan penggerakan pasukan dan anggota, termasuk tentera Indonesia, polis, Jabatan Perhutanan dan orang awam dipertingkat.

"Ini mesti dilaksanakan secara besar-besaran, terukur dan tanpa bertangguh kerana situasi ini telah menjadi sangat mengganggu," katanya.

Dudung turut berkata Indonesia telah memberi maklum balas terhadap tawaran bantuan luar, termasuk daripada Malaysia dan Singapura, dengan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menyelaras pengaturan teknikal bagi cadangan sokongan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau pada sidang media terdahulu berkata bantuan luar perlu menunggu sehingga kerajaan mengisytiharkan kebakaran itu sebagai bencana nasional.

Langkah itu belum diambil memandangkan Indonesia masih berupaya mengendalikan krisis berkenaan menggunakan sumber sendiri.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search