778 sukarelawan daripada 18 UA bantu mangsa banjir di Pangkor
- Admin UKK
- Berita
PANGKOR: Seramai 778 sukarelawan daripada 18 universiti awam (UA) seluruh negara digerakkan menerusi Misi Sukarelawan Mega @ Pangkor bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Pulau Pangkor.
Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata misi melibatkan 625 pelajar dan 153 staf itu turut menyalurkan 520 sumbangan bakul makanan, toto, bantal dan makanan retort bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.
Beliau berkata penglibatan pelbagai universiti dalam misi berkenaan mencerminkan semangat kebersamaan institusi pendidikan tinggi dalam membantu masyarakat yang berdepan musibah.
"Semangat kebersamaan ditunjukkan seluruh universiti awam hari ini membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi tidak pernah terpisah daripada nadi masyarakat.
"Misi Sukarelawan Mega di Pangkor ini ialah penterjemahan solidariti kita untuk bersama-sama mendepani ujian yang dihadapi rakyat," katanya.
Banjir kilat berlaku susulan hujan lebat berterusan kira-kira dua jam bermula 4 pagi, menyebabkan air naik dengan cepat sehingga memasuki kediaman penduduk sebelum beransur surut sekitar 9 pagi.
Menurut Dr Md Amin, bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara teratur, sukarelawan dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kawasan agihan bantuan dan kerja pembersihan yang melibatkan sekurang-kurangnya 150 kediaman.
"Kawasan terlibat ialah Kampung Masjid yang melibatkan 100 rumah, Kampung Teluk Kecil (10 rumah), Kampung Sungai Pinang Besar (10 rumah), Kampung Cina Sungai Pinang (30 rumah) dan Kampung Cina Pangkor," ujar beliau.
Sementara itu, Pengerusi Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Awam merangkap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata penyelarasan menerusi Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) membolehkan tenaga sukarelawan daripada pelbagai universiti digembleng dalam tempoh singkat.
Beliau berkata penglibatan Pasukan ResQ UPSI bersama kekuatan logistik dan kepakaran dalam pembersihan bencana turut membantu melancarkan pergerakan serta operasi di lapangan.
"Kehadiran Pasukan ResQ UPSI bersama kekuatan logistik dan latihan khusus pembersihan bencana turut menjadi tulang belakang yang melancarkan pengurusan pergerakan serta operasi menyelamat di lapangan," katanya.
Dalam pada itu, wakil pelajar UPSI, Muhammad Hassan Sheikh Alrisid Movidin, 21, berkata kesediaan mahasiswa daripada pelbagai universiti untuk turun padang menunjukkan komitmen mereka dalam membantu masyarakat yang ditimpa musibah.
Seorang peserta misi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Amir Hakimi Mohd Raizol, 20, pula berkata pengalaman menyertai misi berkenaan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.
