OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir Nepal pisahkan ratusan kanak-kanak daripada keluarga

Banjir Nepal pisahkan ratusan kanak-kanak daripada keluarga

Nuwakot, Nepal: "Saya sering mengalami mimpi ngeri mengenai banjir itu," kata Ritu Maya Tamang yang masih trauma selepas banjir dahsyat di Nepal pada 26 Ogos lalu meragut nyawa ibunya.

Pada usia 12 tahun, pelajar sekolah Nepal itu sudah memahami bagaimana keluarga yang begitu rapat boleh 'terpisah' dalam sekelip mata.

Banjir yang mula melanda daerah Rasuwa yang terletak di kawasan tanah tinggi Nepal meragut nyawa ibu Tamang, namun mayatnya masih belum ditemukan.

Hingga kini, ingatan mengenai hari banjir dahsyat yang berlaku itu masih segar dalam fikiran Tamang.

Ibunya yang bekerja sebagai pembantu rumah ketika itu berada di pejabat sebuah projek hidroelektrik berhampiran Sungai Trishuli.

"Apabila air datang deras, ibu tidak dapat menyelamatkan diri. Saya terselamat kerana berada di sekolah," kata Tamang dengan air mata bergenang.

Satu-satunya kenangan yang masih dimiliki Tamang daripada ibunya ialah pelitup muka berwarna hitam yang disimpan di dalam begnya.

Tamang antara lebih 500 kanak-kanak yang terpisah daripada ibu bapa selepas banjir dahsyat pada 26 Ogos lalu melanda sempadan China-Nepal, menghanyutkan rumah, jambatan dan kediaman.

Adik perempuan Tamang kini dirawat di hospital akibat radang paru-paru, manakala bapanya setia menanti di sisi katilnya.

Agensi bencana Nepal pada Jumaat berkata, 1,385 mayat sudah ditemukan, manakala 5,130 orang masih hilang. Di China, media kerajaan melaporkan 43 orang maut dan 519 masih hilang.

Kejutan dan trauma

Dalam pada itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Save the Children berkata, sekurang-kurangnya 540 kanak-kanak terpisah daripada ibu bapa dan kini tinggal bersama ribuan mangsa lain di kem bantuan di kawasan yang terjejas akibat banjir, berdasarkan penilaian awal.

Di salah sebuah pusat pembelajaran dalam khemah, guru Shanti Sapkota berkata, ketika kanak-kanak berkenaan mula tiba, ramai dalam keadaan terkejut dan panik.

"Mereka akan berkata, 'rumah saya sudah dihanyutkan', 'ayah saya dihanyutkan' atau 'ibu saya dihanyutkan'," kata Sapkota kepada AFP.

"Namun, mereka perlahan-lahan mula keluar daripada keadaan itu."

Kerajaan Nepal berkata ia akan menjamin pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah untuk kanak-kanak terjejas, dengan bantuan merangkumi penjagaan di asrama hingga biasiswa penuh.

Bersama pihak berkepentingan, kerajaan berikrar menubuhkan dana biasiswa bernilai AS$6.5 juta (kira-kira RM26.4 juta) untuk kira-kira 1,000 pelajar yang terjejas akibat banjir.

"Kami memberi keutamaan kepada kanak-kanak yang kehilangan penjaga," kata Menteri Pendidikan, Sasmit Pokharel.

"Kami akan mengenal pasti jenis sokongan yang diperlukan setiap kanak-kanak... Kami akan bersama mereka," katanya pada Isnin.

Di pusat pembelajaran Nuwakot, ahli psikologi Ekta Shreshtha berkata kanak-kanak berkenaan mudah terkesan dengan kehadiran orang atau bunyi yang asing.

"Masih terlalu awal, tetapi berdasarkan pemerhatian saya, ramai antara mereka mengalami masalah tidur dan mengasingkan diri," katanya kepada AFP.

"Kami cuba mengalih perhatian mereka dengan permainan dan aktiviti menyeronokkan lain yang membantu mereka melupakan trauma buat sementara waktu," katanya.

"Namun, seluruh kehidupan mereka masih terbentang di hadapan. Kesakitan itu akan kembali semula."

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search