Lima rumah rosak akibat ribut
- Admin UKK
- Berita
SARIKEI, 13 Sept: Sekurang-kurangnya lima rumah dilaporkan mengalami kerosakan selepas dilanda ribut kencang dan hujan lebat di sini, petang tadi.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika cuaca buruk melanda beberapa kawasan sekitar daerah ini, dengan kebanyakan kerosakan dilaporkan membabitkan bahagian bumbung rumah.
Antara lokasi yang terjejas termasuk Kampung Jalan Drahman Keria dan Kampung Dibah, dengan keadaan kerosakan kediaman mangsa kini sedang dikenal pasti.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif berkata, beliau sudah menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, pihaknya kini sedang menjalankan penelitian bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai tahap kerosakan yang dialami setiap rumah.
“Kita sedang berusaha mencari penyelesaian segera bagi membantu mangsa termasuk mempertimbangkan penggunaan peruntukan projek rumah orang miskin untuk kerja membaik pulih kediaman yang terjejas.
“Keutamaan ketika ini adalah memastikan bantuan dapat disalurkan secepat mungkin kepada mangsa yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, pihaknya akan meneliti keperluan mangsa berdasarkan tahap kerosakan sebelum tindakan susulan dilaksanakan.
Beliau pada masa sama bersyukur kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kehilangan nyawa, selain meminta semua mangsa supaya bersabar dan tabah menghadapi musibah berkenaan.-TVS
