OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pertimbang 5 syor bendung implikasi jerebu

Pertimbang 5 syor bendung implikasi jerebu

ISU jerebu kembali menjadi masalah serius di Malaysia ketika ini khususnya di Sarawak, akibat kebakaran hutan berlanjutan serta keadaan cuaca panas di Indonesia.

Pada 4 September lalu, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Serian, Sarawak mencecah 519, sehingga kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan berkenaan.

Pada 7 September, kerajaan menamatkan pengisytiharan darurat jerebu di Serian, Sarawak selepas bacaan IPU menurun daripada paras kritikal melebihi 500 kepada sekitar 222.

Walaupun keadaan udara menunjukkan pemulihan, risiko kesihatan akibat jerebu masih wujud dan pemantauan berterusan serta langkah pencegahan perlu dilaksanakan.

Jerebu bukan sahaja mengancam kesihatan awam, malah memberi kesan kepada ekonomi melalui pengurangan produktiviti pekerja, peningkatan kos kesihatan, gangguan operasi perniagaan, penutupan sekolah, serta kemerosotan aktiviti pelancongan dan pengangkutan dalam sesebuah negara.

Gangguan terhadap aktiviti luar dan sektor perkhidmatan boleh mengurangkan penggunaan dan output ekonomi, khususnya di kawasan mengalami tahap pencemaran udara tinggi.

Secara tidak langsung ia akan mengurangkan pendapatan individu, firma dan seterusnya akan memberi kesan kepada pendapatan negara.

Sekiranya keadaan jerebu ini berpanjangan, kesannya akan meningkatkan kos ekonomi dan menjejaskan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia, khususnya aktiviti ekonomi di Sarawak.

Maka, kerajaan perlu memperkukuh tindakan pencegahan dan penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka kerana jerebu bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah mengganggu pendidikan, pelancongan, produktiviti dan aktiviti ekonomi.

Oleh itu bagi membendung masalah jerebu ini, beberapa cadangan diutarakan kepada kerajaan dan masyarakat.

● Pertama, kerajaan perlu meningkatkan kerjasama dengan Indonesia melalui mekanisme ASEAN bagi menangani pencemaran udara rentas sempadan secara lebih berkesan.

Perlu ada perbincangan untuk melakukan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani isu jerebu ini. Tindakan undang-undang lebih tegas perlu dikenakan terhadap pihak sengaja melakukan pembakaran.

Hal ini penting kerana kebakaran di Kalimantan menjadi antara punca utama jerebu menjejaskan kualiti udara di Sarawak.

● Kedua, memperkukuhkan langkah perlindungan kesihatan dan kesinambungan ekonomi apabila IPU mencapai tahap tidak sihat atau berbahaya.

Penutupan sementara sekolah, pengurangan aktiviti luar, penggunaan pembelajaran dalam talian dan pengaturan kerja fleksibel perlu dilaksanakan berdasarkan tahap IPU.

Kerajaan boleh menyediakan topeng muka kepada golongan berisiko, meningkatkan kapasiti klinik dan hospital serta mempercepatkan operasi pembenihan awan apabila keadaan atmosfera sesuai.

● Ketiga, memantau pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), mewujudkan lebih banyak jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah, negeri dan pusat apabila IPU melebihi paras 150 selama 24 jam.

● Keempat, masyarakat perlu memainkan peranan aktif mengurangkan sumber pencemaran. Orang ramai disarankan mengelakkan pembakaran terbuka, melaporkan aktiviti pembakaran kepada pihak berkuasa dan mengurangkan aktiviti luar apabila bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat.

● Kelima, penggunaan pengangkutan awam, perkongsian kenderaan dan pengurangan pembakaran bahan api juga boleh membantu mengurangkan pencemaran udara.

Masyarakat khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu mempunyai masalah pernafasan perlu mengehadkan aktiviti luar serta mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala kesihatan.

Penyelesaian masalah jerebu memerlukan pendekatan bersepadu antara kerajaan, industri, negara jiran dan masyarakat. Pengalaman semasa menunjukkan peningkatan jerebu tidak terkawal boleh mencapai tahap menjejaskan sistem persekolahan dan aktiviti ekonomi dalam tempoh singkat.

Oleh itu, tumpuan tidak seharusnya diberikan hanya kepada tindakan kecemasan ketika jerebu berlaku, tetapi pencegahan kebakaran, penguatkuasaan, kerjasama rentas sempadan dan perubahan tingkah laku masyarakat bagi mengurangkan masalah risiko jerebu berulang.

Penulis ialah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search