OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

JPM sokong titah Sultan Pahang, seru adakan solat hajat hadapi jerebu

JPM sokong titah Sultan Pahang, seru adakan solat hajat hadapi jerebu

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyokong penuh titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya solat hajat diadakan bagi memohon ke hadrat Allah SWT supaya keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini bertambah baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata seluruh masjid di Wilayah Persekutuan dan umat Islam di seluruh negara diseru menyatukan saf bagi memohon pertolongan kepada Allah SWT.

"Adalah menjadi kewajipan agama bagi kita untuk menzahirkan solidariti melalui pelaksanaan solat hajat dan doa secara berterusan.

"Gabungan ikhtiar fizikal serta keutuhan doa adalah senjata utama orang beriman kerana sesungguhnya tiada satu pun ujian yang diangkat melainkan dengan keizinan, rahmat dan kasih sayang Allah," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau pada masa sama menggesa seluruh umat Islam mengambil iktibar atas ujian itu dengan memelihara alam sekitar yang juga amanah Allah, di samping sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi menjaga keselamatan jiwa.

"Marilah kita memperbanyakkan amalan soleh dan memohon keampunan, mudah-mudahan Allah mengangkat ujian jerebu ini dan mengurniakan kesejahteraan serta udara yang bersih kembali kepada saudara-saudara kita di Sarawak," katanya.

Pada Sabtu lalu, Sultan Pahang menitahkan solat hajat diadakan di semua masjid di seluruh negeri Pahang dan bertitah doa serta ikhtiar perlu berjalan seiring dalam menghadapi keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat. – BERNAMA

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search