OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jerebu: Indonesia perhebat usaha bendung kebakaran hutan, tanah

Jerebu: Indonesia perhebat usaha bendung kebakaran hutan, tanah

KUCHING, 16 Ogos: Indonesia terus memperhebat usaha mencegah dan memadam kebakaran hutan dan tanah di kawasan terjejas susulan perkembangan kualiti udara yang menjadi perhatian masyarakat Sarawak baru-baru ini.

Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kuching menerusi kenyataan menyatakan, langkah bersepadu itu dilaksanakan secara menyeluruh, proaktif dan berterusan bagi melindungi kesihatan serta kesejahteraan komuniti di Sarawak dan Indonesia.

“Usaha berkenaan merangkumi peningkatan rondaan awal, kerahan segera pasukan bomba, operasi pengeboman air secara berterusan serta pelaksanaan operasi pengubahsuaian cuaca menerusi pembenihan awan,” menurut kenyataan KJRI Kuching hari ini.

Pada masa sama, tindakan penguatkuasaan undang-undang turut dipertingkatkan terhadap kegiatan pembakaran secara haram, dengan operasi darat dan udara dilaksanakan secara berterusan bagi melindungi komuniti dan ekosistem, selain mengurangkan risiko kebakaran.

Menurut KJRI Kuching, Indonesia kekal komited untuk mengekalkan komunikasi rapat, perkongsian maklumat dan kerjasama serantau dengan semua pihak berkepentingan termasuk menerusi kerangka Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

Jelas kenyataan itu, kerjasama berkenaan penting bagi memperkukuh strategi pencegahan bersama, meningkatkan penyelarasan serantau serta mengurangkan potensi kesan alam sekitar dan sosioekonomi akibat jerebu rentas sempadan.

KJRI Kuching turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi serta menyelaras secara aktif dengan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan berkaitan di Sarawak.

Indonesia berharap usaha bersepadu itu dapat memberikan hasil positif dalam tempoh terdekat, sekali gus memastikan kualiti udara dan aktiviti harian di Sarawak serta kawasan sekitarnya kembali pulih seperti sedia kala.-TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search