OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir Texas: Trump tuding jari pada Biden

Banjir Texas: Trump tuding jari pada Biden

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyalahkan pentadbiran era Joe Biden berhubung kegagalan sistem amaran awal dalam tragedi banjir kilat yang melanda Texas.

Dengan jumlah kematian semakin meningkat, Trump terus menuding jari kepada pentadbiran terdahulu dan mendakwa tragedi itu sebagai ‘perangkap Biden’.

Bercakap kepada pemberita kelmarin, beliau turut mempertahankan tindakan pentadbirannya sebelum ini yang memotong secara besar-besaran bajet dan kakitangan agensi ramalan cuaca negara, termasuk Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).

Sebaliknya, Trump menyifatkan banjir kilat itu sebagai ‘bencana 100 tahun’ yang tiada siapa jangka.

Apabila ditanya sama ada beliau akan mengambil semula pakar kaji cuaca yang diberhentikan, Trump dengan tegas menjawab ‘tidak akan’ berbuat demikian.

Beliau juga mengelak daripada mengakui pemotongan itu mungkin melemahkan sistem amaran awal dan menyumbang kepada jumlah korban yang tinggi.

Dalam nada tidak acuh, beliau turut enggan menjawab soalan mengenai rancangannya untuk memansuhkan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA).

“FEMA adalah sesuatu yang boleh dibincangkan kemudian,” katanya ringkas.

Trump, yang sebelum ini pernah menyatakan bahawa bantuan bencana sepatutnya dikendalikan di peringkat negeri, turut menandatangani pengisytiharan bencana besar yang membolehkan sumber persekutuan disalurkan ke Texas.

KEMUSNAHAN DAHSYAT

Sheriff Daerah Kerr, Larry Leitha berkata, sekurang-kur­angnya 68 orang termasuk 28 kanak-kanak maut dalam kejadian di kawasan itu, yang paling teruk terjejas di tengah Texas.

Manakala, kira-kira 10 lagi dilaporkan meninggal dunia akibat banjir di kawasan berdekatan.

Di tengah Texas, sebanyak 17 helikopter dikerahkan dalam usaha mencari mangsa yang masih hilang, termasuk 10 kanak-kanak perempuan dan seorang kaunselor dari sebuah kem musim panas.

Kira-kira 750 orang dilaporkan berada di Camp Mystic ketika bencana mengejut itu.

Dalam insiden tragis yang mengejutkan ramai, limpahan air Sungai Guadalupe mencecah hingga bumbung kabin ketika peserta sedang tidur pada Jumaat lalu, menyebabkan sebahagian mereka dihanyutkan dan meninggalkan kemusnahan yang dahsyat.

Selimut, anak patung dan barangan peribadi lain di kem tersebut ditemukan berselut, manakala tingkap kabin pecah dipercayai akibat tekanan air yang kuat.

NWS memberi amaran pada Ahad, ribut petir yang bergerak perlahan berisiko menyebabkan lebih banyak banjir kilat di kawasan berkenaan.

Gabenor Texas, Greg Abbott turut memberi amaran hujan berterusan berisiko mencetuskan banjir kilat di Kerrville dan kawasan berhampiran.

PARAS SUNGAI GUADALUPE

Dalam tempoh hanya 45 minit, paras air Sungai Guadalupe melonjak sehingga lapan meter bersamaan ketinggian bangunan dua tingkat.

Fenomena banjir kilat bukan sesuatu yang luar biasa di kawasan dikenali sebagai ‘Flash Flood Alley’, di mana hujan lebat secara tiba-tiba sukar diserap oleh tanah kering dan berbatu.

Namun, saintis memberi amaran perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia menyebabkan cuaca ekstrem seperti banjir, kemarau dan gelombang haba menjadi lebih kerap serta dahsyat.

Sementara operasi menyelamat masih giat dijalankan, pihak berkuasa juga memulakan proses pembersihan kawasan terjejas.

“Ada serpihak dan sisa runtuhan di merata tempat, menghalang laluan, menyukarkan kerja pembinaan semula,” kata Abbott dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan meminta orang ramai menghentikan penggunaan dron atas faktor keselamatan, kerana ia menganggu operasi penerbangan helikopter penyelamat. – AFP

 

 

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search