OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir Texas: Angka korban banjir melebihi 100 orang

Banjir Texas: Angka korban banjir melebihi 100 orang

HUNT: Jumlah kematian akibat banjir besar di Texas meningkat kepada lebih 100 orang, semalam dan pasukan penyelamat masih meneruskan pencarian mangsa-mangsa yang dihanyutkan oleh arus deras.

Antara yang terkorban termasuk kira-kira 27 orang gadis dan kaunselor yang sedang menginap di sebuah kem musim panas di tepi sungai sewaktu bencana itu melanda pada hujung minggu cuti Hari Kemerdekaan Amerika.

Pakar kaji cuaca sebelum ini memberi amaran mengenai kejadian banjir, memandangkan hujan berterusan di atas kawasan tanah yang sudah tepu air dan ia menyukarkan usaha penyelamatan membabitkan helikopter, bot dan anjing pengesan.

Menurut pejabat sheriff tempatan, daerah Kerr di tengah Texas menjadi kawasan yang paling teruk terjejas, dengan 56 orang dewasa dan 28 orang kanak-kanak maut.

Ia termasuklah 27 orang yang sedang menginap di Camp Mystic, sebuah kem Kristian untuk gadis yang ketika itu menempatkan sejumlah 750 orang.

Kem musim panas menjadi satu tradisi yang digemari sepanjang cuti panjang musim panas di AS di mana kanak-kanak sering menginap di kawasan hutan, taman atau luar bandar.

Senator Texas, Ted Cruz, menyifatkan kem ini sebagai peluang untuk membina 'persahabatan seumur hidup' tetapi tiba-tiba bertukar menjadi tragedi.

Air Sungai Guadalupe yang melimpah turut mencapai puncak pokok dan bumbung kabin sewaktu kumpulan gadis di kem sedang tidur.

Selimut, patung beruang dan barangan peribadi lain juga dilihat disaluti lumpur manakala tingkap-tingkap kabin pecah, dipercayai akibat hentaman air yang kuat.

"Kami membantu ibu bapa kepada dua kanak-kanak yang masih hilang Mesej terakhir yang kami terima ialah mereka sedang dihanyutkan dan talian terus terputus," kata Louis Deppe, 62, kepada AFP.

Sementara itu, Rumah Putih juga mengesahkan, Presiden Donald Trump turut merancang untuk melawat Texas, Jumaat ini sekali gus menepis kritikan yang mendakwa pemotongan bajet kepada agensi cuaca oleh pentadbirannya melemahkan sistem amaran awal.

"Menyalahkan Presiden Trump atas kejadian banjir ini adalah satu pembohongan yang kejam, dan tidak membantu pada waktu sukar ini," kata Setiausaha Akhbar Karoline Leavitt kepada wartawan, semalam.

Beliau berkata, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan sudah mengeluarkan "'ramalan dan amaran yang tepat dan tepat pada masanya."

Trump menggambarkan banjir yang berlaku pada awal Jumaat itu sebagai "bencana seratus tahun" yang "tidak dijangka sesiapa." - AFP

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search