Pembangunan infrastruktur perlu seiring kelestarian
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR, 14 Julai: Pembangunan infrastruktur negara tidak lagi boleh diukur berdasarkan jumlah projek yang berjaya disiapkan tetapi perlu dinilai menerusi keupayaan memastikan kelestarian sumber, pemeliharaan alam sekitar serta peningkatan kualiti hidup rakyat secara berterusan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kelestarian bukan lagi sekadar pelengkap kepada pembangunan sebaliknya perlu menjadi prinsip asas dalam setiap perancangan, pembinaan, penyelenggaraan dan pengoperasian aset kerajaan.
Jelas beliau perkara itu mustahak berikutan perkembangan semasa global yang berdepan pelbagai cabaran yang semakin kompleks seperti perubahan iklim, peningkatan suhu global, bencana berkaitan cuaca, tekanan terhadap sumber asli serta tuntutan rakyat terhadap pembangunan yang lebih berkualiti.
“Dalam keadaan sedemikian, kejayaan sesebuah negara tidak lagi diukur semata-mata melalui jumlah infrastruktur yang berjaya dibina, tetapi turut dinilai berdasarkan sejauh mana pembangunan tersebut mampu bertahan, menjimatkan sumber, memelihara alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup rakyat secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program pH JKR Day 2026 bertemakan “Standard Diperkukuh, Kelestarian Diperkasa” di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya, di sini hari ini.
Tambah Alexander Nanta, Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) memikul amanah besar sebagai agensi teknikal utama negara dalam memastikan setiap aset dibangunkan memenuhi standard tertinggi dari aspek keselamatan, kualiti, kecekapan, daya tahan dan kelestarian.
Katanya, nilai sebenar sesebuah infrastruktur bukan hanya terletak pada kekuatan fizikalnya, tetapi keupayaannya meningkatkan kesejahteraan rakyat, merangsang pertumbuhan ekonomi dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Kita tidak mahu sekadar membina projek yang siap mengikut jadual, tetapi kita mahu membina legasi yang mampu bertahan merentasi generasi. Itulah ukuran sebenar sebuah pembangunan yang mampan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik tiga inisiatif strategik yang diperkenalkan JKR iaitu Polisi Pembangunan Lestari JKR, Standard JKR SIRIM 2025 PH JKR Pembangunan dan Sistem ePH JKR.
Katanya, inisiatif berkenaan akan memperkukuh tadbir urus, menyeragamkan amalan, mempercepat transformasi digital serta meningkatkan kecekapan pelaksanaan penarafan hijau JKR.
“Standard bukan sekadar satu dokumen teknikal untuk dipatuhi, tetapi manifestasi ilmu, pengalaman, integriti dan komitmen organisasi terhadap kecemerlangan.
“Apabila standard diperkukuh, kualiti akan meningkat dan apabila kualiti meningkat, keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan turut diperkukuh,” katanya. -TVS.
