OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Petir punca kebakaran di Taman Negara Niah

Petir punca kebakaran di Taman Negara Niah

Miri: Panahan petir dikenal pasti mencetuskan kebakaran hutan di Taman Negara Niah, dekat sini, yang membabitkan kawasan lereng bukit berhampiran Gua Niah dengan anggaran keluasan kira-kira 0.5 hektar sejak semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2 petang sebelum sepasukan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di Pejabat Taman Negara Niah pada jam 2.07 petang selepas menempuh perjalanan sejauh enam kilometer sebelum meneruskan operasi bersama lima pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC).

"Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran berlaku di lereng bukit berhampiran Traders Cave dan kawasan Kuala Hangus yang menjadi sebahagian daripada Gua Besar di Taman Negara Niah.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) terpaksa berjalan sejauh 2.9 kilometer dari Pejabat Taman Negara Niah ke Pondok Gerai Komuniti Tangap sebelum meneruskan perjalanan kira-kira satu kilometer lagi untuk menghampiri lokasi kebakaran," katanya.

Bagaimanapun, katanya, operasi pemadaman tidak dapat dijalankan berikutan keadaan muka bumi yang sukar, berbatu dan curam selain kebakaran berlaku di puncak Bukit Batu Kapur Gua Niah yang menyukarkan akses pasukan penyelamat.

"Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada panahan petir yang menyebabkan beberapa pokok terbakar, namun api dilaporkan jauh dari kawasan penempatan penduduk," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PKO hanya menjalankan pemantauan di lokasi dan mengadakan perbincangan bersama SFC bagi menutup sementara Taman Negara Niah kepada orang awam sebagai langkah keselamatan.

Menurutnya, pemantauan berkala turut dilaksanakan terutama di laluan denai menuju ke Traders Cave bagi memastikan kebakaran tidak merebak serta menjamin keselamatan pengunjung dan petugas.

Operasi pemadaman diteruskan hari ini dengan anggota BBP Batu Niah kembali ke lokasi pada jam 9 pagi manakala permohonan bantuan helikopter daripada Unit Udara JBPM turut diluluskan bagi menyokong pemantauan dan operasi di kawasan sukar diakses itu.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search