OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Emosi penduduk Putra Heights terjejas

Emosi penduduk Putra Heights terjejas

PETALING JAYA: Penantian berlarutan terhadap pembenta­ngan laporan akhir siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights tahun lalu bukan sahaja menguji kesabaran penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, malah meninggalkan kesan emosi mendalam.

Setiausaha Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Su­ngai Baru, Mohd. Badly Nordin berkata, tempoh menunggu terlalu lama menyebabkan penduduk kini hanya mampu pasrah dan reda.

Menurutnya, penduduk juga risau isu keselamatan.

“Penantian yang terlalu lama ini menyebabkan kami sudah tidak tahu apa lagi yang mahu diharapkan, malah majoriti penduduk kini hanya mampu pasrah dan reda dengan kea­daan semasa.

“Harapan kami sekarang ha­nya mahu melihat kerajaan le­bih jujur dan telus mempercepat pembentangan laporan ini.

“Tolong jangan biarkan nasib kami terus tergantung tanpa kesudahan kerana ini melibatkan soal keselamatan dan ketenteraman jangka panjang komuniti kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Katanya, laporan siasatan yang dikendalikan oleh jawatankuasa bebas itu telah siap sepenuhnya sejak Januari lalu kemudiannya dibentangkan kepada Petronas sebelum dikemukakan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada April.

Bagaimanapun, selepas la­poran itu bertukar-tukar ta­ngan selama berbulan-bulan, penantian penduduk kembali tergantung apabila laporan itu didakwa terpaksa dihantar semula kepada agensi Kerajaan Persekutuan untuk semakan lanjut.

Mengulas mengenai kenya­taan Menteri Besar Selangor sebelum ini yang menyatakan pendedahan laporan belum dapat dimuktamadkan akibat tuntutan penduduk, dia me­negaskan isu itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk melengahkan masa.

“Sebahagian besar penduduk kampung mengambil keputusan untuk menolak tawaran pampasan awal daripada Petronas disebabkan wujudnya syarat ketat yang menyekat hak mereka untuk mengambil tindakan undang-undang pada masa hadapan.

“Oleh itu, menerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk, kami kini dalam fasa akhir menyiapkan dokumentasi bersama peguam untuk menuntut ganti rugi penuh yang sepadan dengan jumlah nilai kerugian harta benda yang kami alami,” kata­nya.-UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search