Sibu rujuk Amsterdam tangani cabaran pengurusan air dan banjir
- Admin UKK
- Berita
SIBU, 11 Julai: Kerajaan Sarawak mendapatkan pandangan pakar antarabangsa dengan menjadikan Amsterdam, sebagai rujukan dalam merangka pembangunan semula Sibu, terutama dalam menangani isu pengurusan air dan banjir.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Amsterdam dipilih sebagai rujukan kerana mempunyai cabaran geografi berkaitan air yang hampir sama dengan Sibu, walaupun kedua-duanya berdepan persekitaran berbeza iaitu laut dan sungai.
Beliau berkata, pengalaman Belanda dalam mengurus sistem air dan perancangan bandar akan dikaji bagi membantu Sarawak membangunkan Sibu secara lebih mampan serta bersedia menghadapi kesan perubahan iklim.
“Jika dibandingkan antara Amsterdam dan Sibu, walaupun kedua-duanya mempunyai perbezaan dari segi kedudukan geografi iaitu Amsterdam berhadapan dengan laut manakala Sibu berkembang berasaskan sistem sungai, kedua-dua kawasan mempunyai persamaan dari segi keperluan pengurusan air dan risiko banjir.
Oleh itu, pendekatan pembangunan semula Sibu perlu mengambil kira penyelesaian bersepadu, termasuk sistem saliran, pengurusan sungai serta pembinaan saluran air yang lebih sistematik. Sebagai contoh, kawasan seperti Bukit Assek kini menghadapi cabaran kepadatan pembangunan yang tinggi serta isu keselesaan penduduk, selain masalah air bertakung dan kejadian banjir yang perlu ditangani secara menyeluruh,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Sibu, di sini hari ini.
Tambah Abang Johari, pelan pembangunan semula Sibu itu dijangka mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun, merangkumi penambahbaikan sistem saliran serta penyelesaian isu air bertakung, khususnya di kawasan padat seperti Bukit Assek.
Beliau berkata, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memastikan Sibu berkembang sebagai bandar yang lebih berdaya tahan, selari dengan perubahan ekonomi dan cabaran iklim semasa.-TVS
