OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

El Nino: Bomba selaras koordinasi agensi hadapi kebakaran terbuka

El Nino: Bomba selaras koordinasi agensi hadapi kebakaran terbuka

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperincikan senarai aset pasukan itu bagi menyelaraskan koordinasi dengan agensi lain sebagai persediaan mendepani kebakaran terbuka semasa musim El Nino.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, berkata ia tidak hanya membabitkan aset daripada pihak bomba tetapi juga merangkumi logistik daripada agensi lain terutama membabitkan sumber bekalan air bagi memadamkan kebakaran dalam skala besar.

Beliau berkata, ia termasuk aset daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang membabitkan pergerakan mobilisasi untuk pam besar serta Jabatan Minerologi dan Geografi (JMG) berhubung kedudukan telaga air bawah tanah.

"Terdapat 183 lokasi di seluruh negara dikenal pasti sebagai titik panas yang berpotensi berlaku kebakaran.

"Kita akan lihat bagaimana logistik setempat termasuk daripada pasukan lain seperti jengkaut dapat di koordinasi di lokasi terbabit.

"Di pihak bomba, kami dijangka selesai menerima perolehan 200 unit kenderaan operasi ringan untuk membolehkan kita melakukan pemantauan.

"Selain itu, kami juga ada 26 dron untuk membantu melakukan pemantauan udara serta dua helikopter yang akan diterima pada Oktober dan November ini bagi kerja-kerja pemadaman api dan pemantauan," katanya pada sidang media Sesi Libat Urus Bersama Media Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi Monsun Barat Daya 2026 di Dewan Wawasan, Markas SMART, Pulau Meranti, di sini hari ini.

Nor Hisham berkata, pihaknya juga ada berhubung dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) untuk berbincang mengenai penggunaan helikopter JBPM bagi membantu operasi pembenihan awan (OPA).

"Berdasarkan penilaian teknikal awal, kami mendapati penggunaan itu (helikopter) kurang sesuai.

"Namun saya dimaklumkan oleh METMalaysia bahawa terdapat kaedah menggunakan dron jarak jauh sedang dipertimbangkan bagi pelaksanaan OPA, khususnya di kawasan kebakaran besar.

"Jadi pendekatan menyeluruh itu sudah kita rancang dan insya-Allah, kita harap tidak ada episod begitu teruk seperti yang berlaku pada 1997/1998.

"Sekiranya berlaku (situasi buruk), semua agensi berkaitan termasuk JBPM sudah membuat dari sekarang untuk menghadapi masa depan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Hakim berkata semua aset dalam jabatan kerajaan boleh digunakan secara bersama antara agensi apabila berlakunya bencana.

"Sebenarnya ada aset yang kita boleh guna yang ada di agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain.

"Setiap kementerian, jabatan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan rakyat mempunyai peranan masing-masing.

"Ini adalah peranan NADMA sebagai agensi penyelaras utama dengan memastikan setiap kementerian dan agensi bergerak secara bersepadu, berkongsi maklumat, menyelaras tindakan serta bertindak berdasarkan penilaian risiko yang sama," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search