OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

MET Malaysia: Super El Nino dijangka bermula November

MET Malaysia: Super El Nino dijangka bermula November

PUCHONG, 7 Julai: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan fenomena Super El Nino akan mula berlaku November ini sebelum berterusan hingga Januari 2027.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MET Malaysia, Ambun Dindang berkata, ramalan itu adalah berdasarkan pemantauan berterusan oleh National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) yang memantau perubahan suhu permukaan laut di Lautan Pasifik.

“Perlu dijelaskan bahawa El Nino sudah berlaku, iaitu proses pemanasan telah bermula. Di Malaysia, kesannya biasanya berlaku sedikit lewat kerana fenomena ini berlaku jauh dari rantau kita dan kesan yang dijangka ialah pengurangan hujan yang ketara serta peningkatan suhu pada awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Sesi Libat Urus Bersama Media mengenai Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) 2026, di sini, hari ini.

Mengulas laporan Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) yang meletakkan Malaysia antara negara berisiko tinggi berdepan jerebu rentas sempadan, beliau berkata MET Malaysia masih memantau keadaan semasa sebelum mengesahkan tahap risiko tersebut.

Menurutnya, cuaca panas dan kering ketika Monsun Barat Daya sememangnya meningkatkan potensi pembentukan jerebu, sama ada berpunca daripada sumber tempatan mahupun rentas sempadan.

Beliau berkata negara-negara jiran turut mengalami cuaca kering ketika ini dan pemantauan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) juga telah mengesan kewujudan beberapa titik panas di rantau ini.

“Agensi tersebut mengeluarkan kenyataan berdasarkan keadaan semasa dan arah angin Monsun Barat Daya yang boleh membawa asap merentasi sempadan.

Beliau menjelaskan, memandangkan Malaysia akan memasuki musim Monsun Timur Laut antara November 2026 hingga Mac 2027 yang lazimnya membawa hujan, risiko jerebu yang lebih serius dijangka hanya berpotensi berlaku selepas tamat musim monsun tersebut.

Dalam pada itu, Ambun berkata risiko jerebu tempatan pula lazimnya berpunca daripada kebakaran di kawasan tanah gambut yang lebih mudah terbakar ketika musim panas, berdasarkan rekod kejadian terdahulu. -TVS.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search