2 kejadian tanah runtuh selang 16 minit di Ampang
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Dua insiden tanah runtuh berlaku di Kampung Ampang Indah, Ampang dekat sini, susulan hujan lebat yang melanda sekitar Lembah Klang, petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata kedua-dua kejadian itu dilaporkan dalam jarak masa kurang 20 minit.
Katanya, laporan pertama diterima pada jam 3.35 petang membabitkan kejadian runtuhan tanah lereng bukit berkeluasan kira-kira 20x20 kaki di belakang rumah kawasan Lot 1757, Jalan Indah 4.
Bagaimanapun, beliau berkata, insiden itu tiada membabitkan mangsa dan tidak menjejaskan struktur kediaman.
"Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang tiba di lokasi pada jam 3.41 petang dan operasi dikawal pada jam 3.45 petang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, laporan kedua pula diterima pada jam 3.51 petang membabitkan insiden runtuhan tebing di Lot 1777, Jalan Indah 4, yang menyebabkan sebuah van mengalami kerosakan.
"Runtuhan berkeluasan kira-kira 15x20 kaki itu menghempap sebuah van jenis Ford. "Insiden itu juga tiada membabitkan mangsa," katanya.
Beliau berkata, jentera dari BBP Ampang tiba di lokasi pada jam 3.53 petang dan operasi dikawal jam 3.58 petang sebelum tamat sepenuhnya jam 4.45 petang.
