Operasi pembenihan awan dilaksana di Melaka, Johor minggu depan
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan di Melaka dan Johor minggu depan susulan keadaan cuaca kering yang berpanjangan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia sedang memantau rapi keadaan cuaca yang menunjukkan peningkatan suhu serta permulaan tempoh kering akibat peralihan musim monsun.
“Johor dan Melaka kini diberi perhatian khusus apabila permintaan baharu diterima untuk melaksanakan semula operasi pembenihan awan di kedua-dua negeri tersebut dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas pra-pelancaran Minggu kelestarian Antarabangsa (International Sustainabality Week) (ISW) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Sebelum ini, operasi pembenihan awan telah dilaksanakan secara berperingkat bermula di Kedah dan Perlis, sebelum diperluaskan ke Perak serta seterusnya ke Melaka dan Johor.
Jelas Arthur, hasil awal menunjukkan kejayaan dengan berlakunya hujan di beberapa kawasan.
“Namun begitu, peningkatan paras air sungai masih belum mencapai tahap yang diharapkan, meskipun hujan telah direkodkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, jelasnya, suhu dilaporkan mencecah sehingga 37.5 darjah Celsius dan dijangka kekal tinggi dalam tempoh beberapa bulan akan datang, khususnya antara April hingga Jun.
“Keadaan cuaca panas dan kering ini bukan sahaja memberi kesan kepada sumber air, malah meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan yang boleh menjejaskan aktiviti ekonomi.
“Kerajaan akan terus mengambil langkah mitigasi termasuk memperhebat operasi pembenihan awan, mengeluarkan garis panduan, serta bekerjasama dengan negara jiran bagi menangani risiko jerebu,” jelasnya. –UTUSAN
