OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Orang ramai dinasihat berwaspada hadapi Fasa Peralihan Monsun

Orang ramai dinasihat berwaspada hadapi Fasa Peralihan Monsun

KUCHING, 14 April: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dengan kedatangan Fasa Peralihan Monsun yang dijangka memberi impak signifikan kepada keadaan cuaca di Sarawak.

Pengarah MetMalaysia Sarawak, Khairul Najib Ibrahim berkata, fenomena tersebut berpotensi menyebabkan hujan lebat disertai petir dan angin kencang, terutamanya pada waktu petang dan awal malam.

“Keadaan ini mungkin mengakibatkan banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan pada struktur bangunan yang tidak kukuh,” katanya ketika dihubungi TVS pada Selasa.

Menurut Khairul, fasa tersebut yang bermula pada 29 Mac lalu dan berterusan sehingga Mei depan, menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula pada November tahun lepas.

Katanya, dalam tempoh itu, keadaan angin yang lemah dari pelbagai arah akan mendorong pembentukan awan ribut petir.

Pada masa sama, Khairul turut menegaskan kepentingan untuk sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini.

“Orang ramai perlu sentiasa berwaspada dengan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, sama ada melalui laman web rasmi atau aplikasi myCuaca,” ujarnya.

Selain itu, beliau menyeru penduduk Sarawak agar lebih peka terhadap amaran yang dikeluarkan dan segera mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghindari sebarang bahaya yang boleh berlaku.

“Kami juga membuka saluran komunikasi seperti Hotline Jabatan MET Malaysia 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul juga mengingatkan bahawa tempoh peralihan ini memerlukan kerjasama dan kewaspadaan daripada setiap lapisan masyarakat untuk mengurangkan risiko kecelakaan yang tidak diingini. – TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search