238 mangsa banjir di Selangau dibenar pulang, PPS SK Bukit Arip ditutup
- Admin UKK
- Berita
MUKAH, 12 Jan: Seramai 238 mangsa banjir membabitkan 64 Ketua Isi Rumah (KIR) dari tiga rumah panjang di Selangau dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing hari ini selepas keadaan banjir di kawasan berkenaan surut sepenuhnya.
Mangsa terlibat terdiri daripada penduduk Rumah Janting, Rumah David dan Rumah Jambai, selain beberapa kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Arip, Selangau yang sebelum ini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, keputusan membenarkan semua mangsa pulang dibuat selepas pemantauan mendapati situasi banjir pulih sepenuhnya dan kawasan kediaman terjejas berada dalam keadaan selamat.
Menurut beliau, susulan perkembangan positif itu, PPS SK Bukit Arip ditutup sepenuhnya berkuat kuasa jam 3.00 petang.
“Keputusan ini dibuat setelah pihak berkuasa mendapati paras air surut sepenuhnya di sekitar kawasan rumah panjang yang terlibat dan keadaan kini selamat untuk penghuni kembali ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut memaklumkan bahawa sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah turut digerakkan bagi membantu proses penghantaran pulang penduduk ke rumah panjang masing-masing.
Katanya, kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak keselamatan dan pengurusan bencana amat penting bagi memastikan urusan pemindahan berjalan lancar dan teratur.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pemantauan berterusan tetap dijalankan di kawasan berisiko banjir sekitar daerah Mukah dan Selangau.
“Langkah kesiapsiagaan itu penting bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil, termasuk pemindahan penduduk, sekiranya keadaan cuaca kembali buruk dan risiko banjir meningkat semula,” katanya. – TVS
