Bangkit dari banjir, STB semangat sambut murid
- Admin UKK
- Berita
ARAU: Biarpun terjejas teruk ekoran banjir besar baru-baru ini, guru-guru di Sekolah Tengku Budriah (STB) tetap bersemangat menyambut kemasukan murid pada hari pertama sesi persekolahan di sini, semalam.
Seawal pukul 7 pagi, guru-guru menunggu di pintu pagar sekolah menyambut murid, khususnya Tahun Satu yang mula memasuki alam persekolahan.
Sesi ini menyaksikan seramai 157 murid Tahun Satu mendaftar di STB manakala keseluruhan murid sekolah tersebut seramai 1,007.
Guru Besar STB, Nor Zaitun Ibrahim berkata, hari pertama persekolahan berjalan lancar dan ibu bapa diberikan kebenaran menemani anak mereka yang masuk Tahun Satu.
Katanya sepanjang minggu ini, murid-murid akan terlibat dengan minggu didik hibur yang menampilkan pelbagai aktiviti menyeronokkan.
“Kita menyambut kemasukan murid-murid seperti biasa, penuh semangat meskipun sekolah berdepan musibah banjir sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan banjir besar melanda negeri ini disifatkan terburuk sejak 15 tahun lalu, menyaksikan STB antara sekolah yang teruk terjejas dengan tahap kemusnahan sehingga 90 peratus. – UTUSAN
