OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

1.77 juta rakyat dilindungi 149 projek tebatan banjir

1.77 juta rakyat dilindungi 149 projek tebatan banjir

PETALING JAYA: Lebih 1.77  juta penduduk di seluruh negara kini mendapat perlindungan daripada risiko banjir hasil pelaksanaan 149 projek tebatan banjir.

Itu antara pencapaian menerusi kerjasama strategik pelbagai agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagi tempoh 2024 hingga tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan penduduk, keselamatan infrastruktur serta agenda kemampanan negara.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, dalam sektor air, pelaksanaan Skim Pelabelan Kecekapan Produk Air (WEPLS) oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berjaya menjimatkan sehingga 85 peratus penggunaan air.

Katanya, Indah Water Konsortium (IWK) pula merekodkan pengoperasian lebih 7,000 loji rawatan kumbahan dengan kadar pematuhan efluen melebihi 97 peratus, selain melaksanakan program pengurusan lemak, minyak dan gris (FOG) serta penggunaan tenaga solar di loji rawatan kumbahan.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan 149 projek tebatan banjir yang memberi perlindungan kepada 1.77 juta penduduk, selain menjalankan pemuliharaan dan pembangunan sungai di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Fadillah berkata, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) membangunkan 21 loji rawatan air berkapasiti 2,081 juta liter sehari, selain menyiapkan Projek Langat 2 Fasa 1 berkapasiti 1,130 juta liter sehari dengan kos RM4.2 bilion.

Bagi sektor tenaga, katanya, pencapaian utama melibatkan Suruhanjaya Tenaga (ST), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan MyPOWER termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Pembaharuan Pasaran Elektrik Malaysia.

“SEDA merekodkan kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 3,409.64 megawatt, manakala ST melaksanakan Program Solar Skala Besar 5+ dengan kapasiti 1,975 megawatt serta mengeksport 50 megawatt elektrik hijau ke Singapura.

“Prestasi sektor tenaga turut ditunjukkan melalui penurunan Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) kepada 37.36 minit,” katanya. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search