OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Luruan monsun diramal masuk rantau negara mulai 1 Januari

Luruan monsun diramal masuk rantau negara mulai 1 Januari

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan luruan monsun memasuki rantau negara, bermula 1 hingga 5 Januari depan.

Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Sarawak, selain angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.

"Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman sesawang: www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook METMalaysia, hari ini.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, METMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di kawasan perairan timur laut Condore serta barat laut Reef North hingga Jumaat ini, dengan kelajuan angin lebih 60 kilometer (km)/jam dan ombak setinggi lebih 4.5 meter (m).

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai serta perkapalan, termasuk pekerja di pelantar minyak," katanya.

 

Dalam tempoh sama, METMalaysia turut mengeluarkan amaran kategori kedua dengan angin berkelajuan 50 hingga 60km/jam dan ombak mencapai ketinggian hingga 4.5m yang dijangka berlaku di kawasan perairan Condore serta timur laut dan barat daya Reef North.

"Keadaan angin kencang serta laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri," katanya.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan bagi kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, utara Bunguran, tenggara dan utara Reef North, Layang-Layang serta barat Palawan.

Angin kencang berkelajuan 40 hingga 50km/jam dengan ketinggian ombak mencapai 3.5m dijangka berlaku di kawasan terbabit, yang berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search