OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

37 tanah rancangan Felda Wilayah Jengka, kampung tradisi diminta siap siaga hadapi banjir

37 tanah rancangan Felda Wilayah Jengka, kampung tradisi diminta siap siaga hadapi banjir

JERANTUT: Semua 37 tanah rancangan Felda di Wilayah Jengka dan kampung-kampung tradisi di sekitarnya diminta bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlakunya banjir ekoran musim hujan yang berlarutan sejak semalam.

Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini meningkatkan risiko banjir terutama di kawasan rendah.

Menurutnya, pihak pengurusan Felda bersama jawatankuasa masyarakat setempat perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan saluran komunikasi dengan pusat bencana di daerah masing-masing sentiasa berfungsi.

“Semua pihak perlu peka dengan keadaan semasa. Jika berlaku limpahan air atau tanda-tanda banjir, laporan segera hendaklah dibuat kepada pusat bencana untuk tindakan bantuan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Razak menegaskan, kesiapsiagaan penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, khususnya melibatkan keselamatan penduduk, harta benda serta kelancaran aktiviti harian di kawasan Felda.

Beliau turut mengingatkan agar penduduk tidak mengambil mudah amaran cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa kerana musim tengkujuh kali ini dijangka lebih panjang dan berisiko tinggi.

“Penduduk di kawasan rendah perlu lebih berwaspada kerana mereka paling terdedah kepada ancaman banjir. Persediaan awal boleh membantu mengurangkan kesan buruk sekiranya bencana berlaku,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar semua jawatankuasa keselamatan dan kebajikan Felda bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Kerjasama ini, katanya, akan memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan kepada mangsa banjir, sekali gus mengurangkan tekanan yang dihadapi penduduk. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search