Indonesia batal 22 lesen pembalakan susulan banjir, tanah runtuh di Sumatera
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA, 15 Dis: Kerajaan Indonesia mengambil tindakan tegas dengan membatalkan 22 lesen pembalakan yang meliputi kawasan seluas lebih satu juta hektar susulan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa wilayah di Sumatera, baru-baru ini.
Menteri Kehutanan Indonesia, Raja Juli Antoni, berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan bersama Presiden Prabowo Subianto di Istana Negara, hari ini.
Menurut beliau, pembatalan berkenaan membabitkan Perizinan Berusaha Pemanfaatan Hutan (PBPH) yang dikeluarkan kepada syarikat pembalakan, selaras dengan arahan langsung Presiden agar tindakan lebih tegas diambil terhadap pemegang lesen yang didapati bermasalah.
“Secara rasmi hari ini, atas arahan Presiden, saya mengumumkan pembatalan 22 PBPH dengan keluasan keseluruhan 1,012,016 hektar,” katanya.
Daripada jumlah itu, kawasan hutan di Sumatera yang terlibat meliputi keluasan kira-kira 116,198 hektar.
Raja Juli berkata, perincian pembatalan lesen berkenaan akan dimuktamadkan menerusi Surat Keputusan (SK) dan akan diumumkan kepada umum dalam masa terdekat.
Langkah tersebut diambil susulan siri bencana banjir besar di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat yang dipercayai berpunca daripada alih fungsi hutan serta aktiviti pembalakan berlebihan.
Keadaan itu dibuktikan dengan penemuan sejumlah besar kayu balak yang dihanyutkan arus banjir, sekali gus memburukkan kesan bencana serta menyukarkan usaha menyelamat dan pemulihan.
Selain banjir, kawasan terlibat turut mengalami kejadian tanah runtuh yang dipercayai berkait rapat dengan kerosakan struktur tanah akibat aktiviti pembalakan tidak terkawal.
Kerajaan Indonesia menegaskan komitmennya untuk memperkukuh perlindungan hutan, mencegah kejadian bencana berulang serta memastikan aktiviti ekonomi dilaksanakan tanpa mengorbankan keselamatan rakyat dan kelestarian alam sekitar. – TVS
