Polis Bau bersedia hadapi bencana
- Admin UKK
- Berita
BAU, 13 Dis: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda ketika ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, setiap jabatan di bawah IPD Bau perlu memastikan pengurusan bencana berjalan lancar dan berkesan demi kebajikan masyarakat setempat.
“Warga IPD Bau harus sentiasa seiring dengan kemajuan teknologi khususnya dalam mengaplikasikan sistem NGMERS999 secara maksimum bagi mempertingkat keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada orang awam,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Disember di sini, semalam.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) Bau atas kerjasama erat dalam membanteras jenayah di kawasan ladang terutamanya di lokasi berhampiran sempadan negara.
Malah menurutnya, perkembangan pesat di daerah ini membawa cabaran baharu.
“Saya berharap semua anggota terus mengekalkan prestasi kerja cemerlang dan meningkatkan profesionalisme dalam menjalankan tanggungjawab,” ujarnya.
Beliau menambah, sebagai penghargaan atas komitmen ditunjukkan, seramai 25 pegawai, anggota serta kakitangan awam menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah atas kecemerlangan dan dedikasi mereka sepanjang tahun ini.-TVS
