Cari penyelesaian atasi masalah banjir, fizikal dan mental rakyat
- Admin UKK
- Berita
Setiap kali hujan turun pada musim monsun, kegusaran mencengkam rakyat Malaysia semakin terasa. Apa yang dahulunya sekadar fenomena cuaca tahunan kini membawa dimensi psikologi lebih mendalam.
Corak monsun yang berubah dengan hujan tidak menentu, ribut semakin kuat dan peningkatan kejadian banjir kilat, menjadikan musim tengkujuh satu tempoh yang mencabar bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mental.
Dalam kalangan penyelidik, keadaan ini semakin dirujuk sebagai ‘eco-anxiety’, iaitu kebimbangan berkaitan dengan perubahan iklim dan ketidakstabilan alam sekitar.
Di banyak negeri, hujan lebat bukan lagi dianggap sebagai perkara rutin. Ia kini mencetuskan tindak balas psikologi jelas, iaitu jantung berdebar apabila mendengar guruh, rasa tidak tenang apabila melihat awan hitam atau kecenderungan memantau paras air secara berulang.
Kehadiran gejala sebegini menunjukkan reaksi masyarakat terhadap bencana alam sudah melepasi tahap kebimbangan biasa dan memasuki wilayah tekanan iklim lebih kompleks.
Di kawasan sering terjejas seperti Klang, Kuantan, Kota Belud dan beberapa bahagian Johor, pengalaman banjir berulang membawa kesan psikososial yang jelas. Kajian pada peringkat antarabangsa menunjukkan mangsa bencana berulang berisiko tinggi mengalami tekanan pasca trauma (PTSD), keresahan jangka panjang, gangguan tidur dan perubahan tingkah laku.
Walaupun istilah PTSD jarang dibincangkan dalam konteks Malaysia, aduan seperti ‘takut setiap kali hujan’, ‘terbayang rumah dinaiki air’ dan ‘tak dapat fokus kerja apabila cuaca mendung’ menggambarkan simptom sebenar tekanan iklim yang semakin menular.
Di bandar pula, masalahnya lebih unik. Banjir kilat yang muncul secara tiba-tiba sering dalam masa kurang 30 minit, menyebabkan penduduk berasakan mereka tidak mempunyai kawalan langsung terhadap persekitaran.
Keadaan ini menjadi faktor utama ‘eco-anxiety’ apabila individu berasakan tiada kemampuan untuk melindungi diri atau mengurus risiko yang semakin kerap.
Pemanasan global menyebabkan udara mengekalkan lebih banyak wap air, mengakibatkan hujan turun dalam jumlah besar dalam tempoh singkat. Pada masa sama, pembangunan pesat mengurangkan kawasan serapan air, manakala sungai yang cetek dan sistem perparitan yang sering tersumbat mempercepatkan limpahan. Semua faktor ini bergabung menghasilkan banjir yang lebih kerap dan lebih sukar diramal.
Apabila kesannya dirasai hampir setiap tahun, masyarakat mula mengembangkan pola kebimbangan jangka panjang. ‘Eco-anxiety’ dalam konteks Malaysia tidak terhad kepada kebimbangan mengenai masa depan planet semata-mata, tetapi ia berkait secara langsung dengan keselamatan harian, kemampuan ekonomi, tempat tinggal dan kelangsungan hidup.
Tingkat daya tahan rakyat
Pada masa sama, komuniti pesisir menghadapi tekanan iklim dua kali ganda. Di Sabah, Terengganu dan beberapa kawasan pesisir lain, kesan musim monsun lebih ketara kerana pengaruh angin kencang dan kenaikan paras laut.
Komuniti seperti Bajau Laut berdepan perubahan yang mengganggu rutin harian, iaitu angin kuat yang menumbangkan struktur rumah atas air, ombak besar yang menyukarkan aktiviti menangkap ikan serta ketidaktentuan cuaca yang menjejaskan keselamatan bot dan hasil tangkapan.
Bagi komuniti yang identitinya berakar pada laut seperti Bajau Laut, gambaran air yang melimpah bukan sahaja isu banjir, tetapi representasi langsung kemerosotan keselamatan laut. Jika di darat air melimpah dengan cepat, di laut pula ombak yang berubah, arus yang kuat dan permukaan air yang naik membawa dimensi keresahan tambahan.
Bagi mereka, air bukan sekadar elemen cuaca, tetapi identiti. Apabila air berubah, seluruh struktur sosial dan budaya turut terganggu.
Walaupun cabaran ini semakin meningkat, negara masih mempunyai ruang besar untuk memperkukuh ketahanan masyarakat. Sistem amaran banjir berskala komuniti, pemantauan paras air menggunakan sensor murah, latihan bencana setempat dan pendidikan awam mengenai risiko iklim adalah antara pendekatan yang terbukti berkesan.
Namun, penyelidik menegaskan ketahanan tidak boleh dibina hanya menerusi infrastruktur fizikal. Aspek psikososial seperti kesediaan mental, sokongan komuniti dan akses kepada bantuan kaunseling selepas bencana adalah sama penting.
‘Eco-anxiety’ bukan tanda kelemahan, tetapi refleksi kepada perubahan persekitaran yang semakin ketara. Menyedari kewujudannya membolehkan kita merangka strategi yang lebih komprehensif untuk meningkatkan daya tahan rakyat.
Musim monsun akan terus datang dan hujan tetap menjadi sebahagian daripada kehidupan di negara ini. Namun, maknanya bagi rakyat kini sudah berubah. Bagi sesetengah orang, hujan membawa kesegaran tetapi bagi sebahagian lain, hujan membawa ingatan terhadap kerosakan, kehilangan dan ketakutan.
Memahami ‘eco-anxiety’ dalam konteks banjir bukan soal mencipta istilah baharu, tetapi soal mengakui pengalaman sebenar masyarakat, iaitu perubahan iklim memberi kesan bukan sahaja kepada alam sekitar, tetapi juga kepada kesejahteraan mental rakyat.
Jika Malaysia ingin menghadapi cabaran iklim masa depan, kita perlu menjaga kedua-duanya, tanah yang dipijak dan jiwa yang memikul ketidakpastian.
