107 calon SPM dipindah ke pusat peperiksaan alternatif
- Admin UKK
- Berita
Seramai 107 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis terpaksa dipindahkan ke pusat peperiksaan alternatif di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu selepas sekolah terbabit dilanda banjir.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berkata, semua calon akan menduduki peperiksaan di pusat berkenaan bermula hari ini hingga 15 Disember depan.
Katanya, pemindahan bahan peperiksaan dari bilik kebal JPN Perlis ke bilik kebal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Bendahara turut dilakukan kelmarin dengan pemantauan ketat oleh Lembaga Peperiksaan, JPN Kedah, JPN Perlis serta Suruhajaya Perkhidmatan Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu.
“Timbalan Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr Habibah Mat Rejab turut hadir bagi memastikan semua proses berkenaan berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Pelantikan petugas peperiksaan yang baharu juga dilaksanakan bagi memastikan kelancaran semua urusan di SBPI Kubang Pasu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, dua pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Darussaadah dan SMK Seri Gunung juga kembali beroperasi di lokasi asal selepas air surut dan cuaca kembali stabil seperti biasa.
Katanya, seramai 89 calon dari SMA Darussaadah dan 62 calon dari SMK Seri Gunung akan mengambil peperiksaan di dua sekolah terbabit bermula hari ini.
