Air Empangan Muda melimpah
- Admin UKK
- Berita
Air di Empangan Muda mula melimpah melalui struktur saluran limpah pada jam 1 pagi kelmarin selepas paras air melepasi aras limpah ditetapkan, 100.540 meter (m).
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sehingga jam 8 pagi kelmarin, paras air direkodkan pada 100.69m dengan kadar limpahan 168.08 cusec.
Menurutnya, limpahan berkenaan masih dalam julat operasi normal empangan dan semua rekod teknikal sudah disalurkan kepada agensi berkaitan untuk pemantauan segera di lapangan.
“Sebelum limpahan berlaku, paras takungan air di tiga empangan di bawah seliaan MADA mencatat peningkatan ketara susulan hujan berterusan sejak 23 November.
“Empangan Pedu direkodkan pada paras 64.64 peratus, Empangan Muda pada 101.40 peratus, manakala Empangan Ahning pada 67.34 peratus,” menurut kenyataan itu.
Peningkatan paras air berkenaan seiring dengan jumlah hujan tinggi direkodkan di kawasan tadahan dalam tempoh enam hari, iaitu 117 milimeter (mm) di Empangan Pedu, 160mm di Empangan Muda dan 251mm di Empangan Ahning.
Sebagai langkah kawalan awal, MADA menutup pelepasan air dari empangan mulai 23 November lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Perak paling terkesan
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di 10 negeri tidak banyak berubah apabila sehingga jam 5 petang semalam, sebanyak 16,723 individu masih ditempatkan di 212 pusat pemindahan sementara (PPS).
Menerusi laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perak menjadi negeri paling tinggi terkesan banjir membabitkan 5,314 mangsa.
Ini diikuti dengan Perlis dengan 3,406 orang, Selangor (3,182), Terengganu (2,338), Kelantan (1,046), Pahang (849), Kedah (467), Negeri Sembilan (99), Sarawak (14) dan Kuala Lumpur, lapan orang.
Bagi status paras air sungai di stesen dan empangan di beberapa negeri, ia turut menunjukkan kadar penurunan dan positif meskipun ada daripadanya sudah melepasi tahap bahaya.
Sehingga jam 6 petang semalam, tujuh empangan dan stesen dilaporkan melebihi paras bahaya, termasuk di Perlis membabitkan Empangan Timah Tasuh serta Perak meliputi Sungai Slim di Slim River serta Sungai Bidor di Changkat Jong.
Selangor membabitkan stesen air di Pintu Air Ijok; Johor (Sungai Muar di Kampung Awat); Terengganu (Sungai Paka di Kampung Luit) serta Kelantan (Sungai Golok di Rantau Panjang).
Sementara itu, sebanyak 14 stesen dan empangan menunjukkan paras air pada tahap waspada iaitu di Kedah (Sungai Kulim);
Selangor (Rantau Panjang, Parit Mahang dan Rimba); Melaka (Cheng dan Rumah Pam Telok Rimba) dan Johor (Sungai Batu Pahat, Sungai Tangkak dan Sungai Paya Dato).
Ia turut membabitkan Terengganu (Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Sungai Besut) serta Kelantan (Sungai Golok, Sungai Galas dan Sungai Kelantan).
