Johor tubuh Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri
- Admin UKK
- Berita
ISKANDAR PUTERI: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini, meluluskan cadangan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor.
Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali, berkata semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju secara sebulat suara dengan cadangan penubuhan jawatankuasa itu.
Cadangan penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui Ketua Pengimbang DUN Johor, Chen Kah Eng dan kemudiannya dibahas oleh ADUN Kukup, Datuk Jefridin Atan.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata jawatankuasa itu akan berfungsi meneliti undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan perubahan iklim dan pengurusan bencana banjir.
Katanya, jawatankuasa itu turut berperanan mengkaji inisiatif yang diambil dalam menangani perubahan iklim dan keberkesanan proses serta langkah mitigasi banjir di peringkat daerah dan negeri.
"Jawatankuasa ini turut akan mengkaji alternatif lain dalam menangani isu banjir kilat, banjir termenung dan banjir yang kerap berulang di satu-satu kawasan sekiranya berlaku hujan lebat yang berpanjangan.
"Seterusnya, mengkaji penyelesaian yang boleh diambil bagi meminimumkan kerosakan harta benda dan infrastruktur akibat banjir, merangkumi cadangan penempatan semula penduduk.
"Penambahbaikan turut akan dicadangkan jawatankuasa ini supaya tindakan dapat diambil oleh jabatan dan agensi berkaitan dalam menangani impak perubahan iklim dan banjir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di DUN Johor, di sini, hari ini.
Pada 19 Mac lalu, Onn Hafiz ketika menjawab soalan lisan pada sidang DUN Johor, mencadangkan penubuhan jawatankuasa itu, yang akan dibarisi ADUN Johor.
Beliau berkata, pembentukan jawatankuasa yang akan dianggotai ADUN merentasi parti politik itu sebagai menyahut peringatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, supaya bangsa Johor membudayakan amalan mesra alam, menjaga kebersihan dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Onn Hafiz berkata, jawatankuasa itu dianggotai 13 ADUN, membabitkan lapan ADUN kerajaan dan lima ADUN pengimbang.
"Jawatankuasa ini akan dipengerusikan Anuar Abd Manap (Pemanis-BN) dan dianggotai Datuk Jefridin Atan (Kukup-BN), Datuk Zulkurnain Kamisan (Sri Medan-BN), Nor Rashidah Ramli (Parit Raja- BN), Tan Chong (Bekok-BN), Selamat Takim (Sungai Balang-BN), Fauziah Misri ( Penawar- BN), Mohamad Najib Samuri (Parit Yaani- BN).
"Seterusnya, Chen Kah Eng ( Stulang- DAP), Gan Peck Cheng ( Penggaram- DAP), Amira Aisya Abd Aziz ( Puteri Wangsa- Muda), Liow Cai Tung ( Johor Jaya- DAP) dan Alawiyah Talib ( Endau- PN)," katanya.