Gegaran dirasai di Lembah Klang susulan gempa 5.7 magnitud di Sumatera
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 dilaporkan berlaku di Utara Sumatera pada jam 12.18 tengah hari tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menerusi kenyataan memaklumkan, gegaran itu turut dirasai di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
"Gempa berkenaan dikesan pada koordinat 4.2 darjah Utara dan 97.6 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer, jarak 55 kilometer Barat Daya dari Langsa, Indonesia menurut kenyataan itu, hari ini.
MetMalaysia memaklumkan kepada orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi itu untuk mengisi borang soalselidik di pautan iniΒ https://forms.gle/3BiFefhGT4yysDiC9.
Beberapa warganet melaporkan merasai gegaran di Petaling Jaya, Kajang, Puchong, Klang dan Selayang.Β Ini bukan kali pertama gempa bumi di Sumatera utara menyebabkan gegaran di Malaysia.
Mac lalu, gempa 6.5 magnitud dikesan di pesisir barat Sumatera utara menyebabkan gegaran di Semenanjung Malaysia dan kawasan sekitarnya. Tiada ancaman tsunami dilaporkan.
Pada Februari 2022, penghuni pelbagai bangunan tinggi di Lembah Klang dan Melaka dipindahkan selepas mengalami gegaran akibat gempa bumi bermagnitud 6.1 di Sumatera utara.
