OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Cuaca panas: Johor ambil langkah pencegahan, kurangkan impak kepada rakyat

Cuaca panas: Johor ambil langkah pencegahan, kurangkan impak kepada rakyat

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor sedang memantau rapi keadaan cuaca panas melampau yang sedang melanda ketika ini sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata setakat ini keadaan masih terkawal di Johor dengan kesemua empangan masih berada pada paras normal.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, langkah keselamatan dari aspek kesihatan diberi perhatian utama bagi mengurangkan impak fenomena itu kepada rakyat negeri ini.

Mengambil kira peningkatan suhu berikutan fenomena cuaca panas melampau, kerajaan Johor sudah mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan impak kepada masyarakat. 

"Kerajaan Johor bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) termasuk memantau keadaan pesakit yang dirujuk serta dirawat di semua premis kesihatan di negeri ini.

"Setakat ini keadaan di hospital dan klinik kesihatan di negeri ini terkawal dan tiada laporan membimbangkan akibat kes disebabkan fenomena cuaca panas melampau.

"Bagaimanapun, Pejabat Kesihatan Daerah kini giat membuat pemantauan termasuk menasihatkan orang ramai mengehadkan aktiviti luar.

"Keadaan empangan di Johor walaupun ada berlaku sedikit penyusutan, ia masih dalam keadaan terkawal dengan pemantauan rapi dibuat terhadap semua 14 empangan selain Loji Rawatan Air (LRA) dan intake sungai," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Warisan Johor (YWJ), hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven dan Pengarah YWJ, Sharil Nizam Abdul Rahim.

Pada 5 Mei lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan menyenaraikan lapan negeri yang mudah dipengaruhi fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian El-Nino tahun 2015-2016.

Negeri terbabit adalah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

SPAN berkata menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, kebarangkalian berlakunya El-Nino adalah sekitar 57 peratus pada bulan Jun hingga September 2023 dan meningkat kepada 62 peratus pada September sehingga November 2023.

El-Nino berlaku akibat peningkatan suhu Lautan Pasifik secara mendadak, sekali gus akan mengakibatkan perubahan kepada sistem iklim, terutamanya peningkatan suhu di permukaan dan pengurangan jumlah taburan hujan di Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai paras empangan di Johor, Azmi berkata, semua agensi berkaitan sedang memantau rapi paras air sebagai persediaan.

"Walaupun keadaan paras empangan di Johor masih di tahap normal dan terkawal namun pemantauan rapi perlu dibuat sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

"Alhamdulillah, hujan turun sejak tiga hari lalu dan diharap paras empangan kita akan terus stabil," katanya.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search