Nadma adakan simulasi hadapi gempa bumi di Segamat
- Admin UKK
- Berita
SEGAMAT - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengadakan latihan dan simulasi melibatkan pelbagai agensi keselamatan serta komuniti setempat bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana gempa bumi.
Ketua Pengarah Nadma, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, langkah itu penting susulan kejadian gegaran lemah yang berlaku di daerah Segamat minggu lalu.
“Dijangka sempena Bulan Kesiapsiagaan pada Oktober nanti, latihan dan simulasi akan digerakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi Bersama Pemimpin Komuniti Daerah Segamat 2025 di Dewan Serbaguna Jalan Genuang di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, latihan simulasi itu akan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk terlibat secara langsung dalam persediaan menghadapi bencana.
Jelasnya, kaedah simulasi itu bukan sekadar latihan di bilik mesyuarat, sebaliknya akan melibatkan pelbagai senario seperti banjir, gempa bumi dan tanah runtuh supaya komuniti tahu tindakan yang perlu diambil sekiranya insiden benar-benar berlaku.
Beliau turut berkongsi kejayaan program serupa yang pernah dijalankan di Sabah pada tahun lalu, apabila komuniti setempat didapati lebih bersedia berdepan insiden sebenar hanya beberapa hari selepas latihan simulasi dilaksanakan.
Justeru, apa yang berlaku di Segamat menjadi isyarat bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan balas yang progresif dan berterusan untuk memastikan rakyat benar-benar bersedia.
Katanya lagi, pelaksanaan program itu juga sejajar dengan Bulan Kesiapsiagaan Nasional yang diraikan setiap Oktober, yang selama ini lebih menumpukan kepada aspek persediaan menghadapi banjir.