OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

DUA STESEN SEISMIK DICADANG DIBINA DI SEGAMAT

DUA STESEN SEISMIK DICADANG DIBINA DI SEGAMAT

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mencadangkan pembinaan dua stesen seismik di Segamat untuk memperkukuh sistem pemantauan aktiviti gempa bumi susulan kejadian yang berlaku di daerah berkenaan pada bulan lalu.

Kewujudan stesen seismik itu dijangka dapat meningkatkan ketepatan pengesanan aktiviti seismik di Johor terutama Segamat dengan mengukur pergerakan tanah termasuk gelombang seismik seperti gempa bumi, letupan dan lain-lain sumber seismik.

Pembangunan stesen seismik di Segamat itu bakal menjadikan kerja mengesan dan mengkaji kejadian gempa bumi di negeri ini, dapat diperluaskan berikutan Johor sudah memiliki stesen sedia ada yang aktif iaitu dua di Johor Bahru selain masing-masing satu di Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing dan Kluang.

Selain itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat turut merancang untuk mengadakan latihan keselamatan dan simulasi sebagai persediaan menghadapi bencana khususnya gempa bumi, bermula Oktober ini.

Terdahulu, Yang Berhormat Dato’ Haji Ismail Haji Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor hadir pada Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi Daerah Segamat 2025 di Dewan Serbaguna Jalan Genuang Segamat, hari ini.

Pada program tersebut, YBhg. Tuan Haji Mohd Ezzuddin Sanusi, Pegawai Daerah Segamat selaku Pengerusi JPBD Segamat memaklumkan tiada kerosakan signifikan membabitkan infrastruktur di daerah tersebut susulan gegaran akibat gempa bumi lemah dalam taklimat disampaikan.

Turut menyampaikan taklimat adalah YBhg. Datuk P. Geol. Zamri Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG); YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah NADMA serta YBhg. Tuan Maqrun Fadzli Mohd Fahmi, Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional, MET Malaysia.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search